Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)

Thursday, May 21, 2009

KPLI Update : Perlukah KPLI Diteruskan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

PEPATAH guru ibarat sebatang lilin yang sanggup membakar diri bagi menerangi orang lain nampaknya semakin menjadi tidak relevan lagi hari ini.

Kebelakangan ini, pelbagai isu yang berkisar dalam dunia perguruan semakin menghakis tanggapan mulia terhadap kerjaya yang satu ketika dulu terlalu tinggi darjatnya.

Guru dalam nilai kerjayanya hari ini tidak banyak bezanya seperti kerjaya-kerjaya komersial lain yang di penghujung usahanya adalah ganjaran dalam bentuk gaji bulanan.

Bayangan seperti ini semakin ketara rentetan daripada keluhan demi keluhan guru mengenai tanggungjawab mereka yang dikatakan semakin membebankan.

Antara puncanya, seperti yang dijelaskan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini, kerana sebahagian besar peranan ibu bapa telah diserahkan kepada guru.

Banyak lagi perkara-perkara remeh lain yang dikaitkan dalam kerjaya perguruan sehingga menyumbang kepada beban tugasan yang tidak lagi boleh ditanggung oleh seorang guru.

Sukar untuk menelah bagaimana peranan sebenar yang dimainkan oleh guru ketika ini.

Adakah hayunan langkah guru ke sekolah setiap pagi atau tengah hari hanya dengan perasaan untuk menunaikan tuntutan kerjaya semata-mata, sama seperti seorang buruh binaan yang perlu menyudahkan sebuah bangunan di tapak projek pembinaan?

Atau terdetikkah di hati seorang guru bahawa rutin harian mereka sepanjang waktu persekolahan adalah satu misi kemanusiaan yang sangat besar amanahnya dalam melahirkan seorang insan yang tidak hanya tinggi pemikiran tetapi juga mulia akhlak dan keperibadian?

Tidak dinafikan, tumpuan yang terlalu tinggi sesetengah sekolah dalam mencapai peratusan kecemerlangan dalam peperiksaan utama sedikit sebanyak menyebabkan peranan sebenar guru tersasar daripada landasannya.

Dalam mengejar peratusan itu, guru pastinya dikerah untuk lebih memberikan perhatian terhadap aspek kecemerlangan akademik dengan harapan pelajar mereka mampu mengutip sebanyak mungkin gred A dalam peperiksaan tersebut.

Tanpa disedari, situasi ini menyebabkan aspek lain dalam pembentukan seorang pelajar yang cemerlang seperti akhlak dan peribadi yang mulia sedikit terabai.

Memang ada aktiviti sekolah yang menjurus ke arah pembentukan akhlak dan rohani seorang pelajar yang syumul, tetapi keberkesanannya boleh saja dipersoal melihat kebejatan sosial pelajar-pelajar yang sangat membimbangkan.

Pastinya tidak adil jika keruntuhan moral di kalangan generasi muda ini diletakkan di bahu guru semata-mata.

Namun, sebagai individu yang paling dekat dengan pelajar-pelajar selepas ahli keluarga, peranan guru dalam mencorak akhlak dan keperibadian generasi muda adalah sesuatu yang tidak boleh disangkalkan.

Andai kata pelajar-pelajar ini menghadapi masalah dalam hubungan kekeluargaan mereka di rumah, siapakah lagi yang paling layak untuk mereka mengharapkan pertolongan dan perhatian?

Tanggungjawab seperti ini tidak begitu ketara dalam perhubungan guru dan pelajar dalam persekitaran sekolah hari ini.

Pendekatan guru dalam menangani perkara sebegini kebiasaannya lebih kepada hukuman fizikal seperti rotan atau gantung sekolah yang secara psikologinya mewujudkan sikap penentangan yang semakin dahsyat.

Lalu, pengajaran yang diharapkan diterima oleh pelajar-pelajar bermasalah daripada hukuman fizikal sebegini bertukar menjadi satu titik yang semakin melonjakkan sikap negatif pelajar berkenaan.

Apa yang diperlukan oleh pelajar bermasalah adalah pengajaran dalam bentuk teladan yang secara terus menyerap ke dalam jiwa dan fikiran mereka.

Teladan seperti inilah yang perlu ada dan dicontohi daripada seorang guru dan tuntutan itu tidak hanya ketika mereka bergelar seorang ‘guru’ sebaliknya dalam keseluruhan hidup mereka.

Sukar untuk tidak mengaitkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang semakin popular hari ini dalam permasalahan nilai-nilai seorang guru seperti yang berlaku memandangkan kebanyakan guru yang dilahirkan daripada kursus ini rata-ratanya siswazah muda.

Lebih parah apabila KPLI dijadikan jalan keluar oleh siswazah dalam desakan mencari pekerjaan sekali gus tidak membayangkan keinginan dan hasrat sebenar mereka sebagai seorang pendidik.

Uniknya mengenai KPLI ini, seorang guru boleh dilahirkan dalam tempoh pengajian kira-kira setahun dengan bidang serta pengkhususan mengenai pendidikan yang semestinya dipendekkan.

Justeru terlalu mudah untuk melihat kelemahan pelaksanaan KPLI dalam melahirkan seorang guru yang sebenar jika dibandingkan dengan guru yang dilahirkan daripada maktab perguruan sedikit masa dahulu.

Benar siswazah ini sudah mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang, tapi kriteria itu sahaja tidak memadai untuk melayakkan mereka bergelar seorang guru yang baik.

Mungkin sudah tiba masanya pelaksanaan KPLI ini dikaji semula apatah lagi ketika beberapa laporan bahawa terdapat pelajar pengajian pendidikan tidak mendapat tempat mengajar kerana perlu bersaing dengan guru lepasan KPLI ini.

Sedangkan tujuan utama pelaksanaan KPLI sebelum ini adalah untuk menampung kekurangan guru lepasan pengajian pendidikan namun situasi yang berlaku kini menjadi sebaliknya.

Pengkhususan pengajian KPLI juga barangkali perlu disemak semula dengan memberi lebih penekanan kepada usaha dan pendekatan seorang guru dalam membina jati diri dan membentuk rohani pelajar yang syumul dan bukannya bijak dalam peperiksaan semata-mata.

Sejak sekian lama, guru sangat berbangga apabila jasa dan pengorbanan mereka diagungkan kerana melahirkan seorang Perdana Menteri, doktor, peguam, jurutera dan banyak lagi.

Pastinya kita tidak mahu satu hari nanti kebanggaan ini dicemari apabila jasa seorang guru dikaitkan dengan gejala mat rempit, bohsia, penagih dadah dan sampah masyarakat lainnya.


link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0124&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment