Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)

Wednesday, May 13, 2009

1,000 Siswazah Akan Dilantik Sebagai Guru Kontrak - Hishammuddin


PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan melantik seramai 1,000 orang siswazah sebagai guru sekolah secara kontrak berikutan peruntukan kerajaan sebanyak RM48 juta bagi program Tenaga Pengajar Secara Kontrak seperti yang diumumkan di dalam mini bajet baru-baru ini, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata peluang ini dibuka kepada semua peringkat pencari kerja, sama ada di kalangan graduan baru atau mereka yang sedang mencari pekerjaan, yang proses pengambilannya akan bermula dalam tempoh terdekat.

"Tawaran akan dikeluarkan di portal Kementerian Pelajaran sedikit masa lagi dan pengambilan guru-guru kontrak ini akan melibatkan semua jenis dan kategori sekolah, sama ada Sekolah Rendah atau Menengah di seluruh negara.

"Ia akan turut melibatkan keperluan untuk melantik guru di semua jenis sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Agama dan lain-lain lagi," katanya di dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata guru yang terpilih dijangka dapat memulakan perkhidmatan selewat-lewatnya Mei tahun ini.

Hishammuddin berkata kementeriannnya sedang menunggu syarat-syarat pelantikan yang sedang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi digunakan oleh semua kementerian.

"Kementerian bagaimanapun telah membuat persediaan bagi membuat pelantikan ini demi memastikan segala keputusan yang dihasratkan menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua dapat dilaksanakan seberapa segera," katanya.

Katanya daripada keseluruhan peruntukan RM60 bilion di bawah pakej itu, sebanyak RM2.093 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk bidang pendidikan, meliputi RM1.949 bilion untuk Pembangunan Pendidikan dan RM144 juta untuk Belanja Mengurus bagi manfaat semua sekolah di seluruh negara.

Katanya Pembangunan Pendidikan melibatkan RM36.3 juta untuk Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), RM1.432 bilion untuk Ubah Suai Naik Taraf Rendah, RM128.7 juta Ubah Suai Naik Taraf Menengah, RM164.1 juta Infrastruktur Sokongan Pendidikan, RM18.2 juta Perabot dan Peralatan dan RM169.6 juta Pembaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dan Kemudahan Sekolah.

Manakala agihan RM144 juta itu (Belanja Mengurus) melibatkan RM6 juta untuk program Pegawai Kontrak, RM48 juta program Tenaga Pengajar Secara Kontrak, RM40 juta program Smartboards dan RM50 juta Kokurikulum, katanya.

Hishammuddin berkata Kementerian Pelajaran turut menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor untuk menempatkan 3,000 siswazah yang mempunyai kelulusan dalam bidang ICT untuk ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan internet bagi membantu menjayakan inisiatif ICT.

Beliau juga berterima kasih atas langkah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk mempertingkatkan keupayaan sistem Internet di 3,000 buah sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan Internet (Schoolnet).

"Saya berharap usaha ini dapat membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara online sekaligus merangkaikan warga sekolah di seluruh negara secara interaktif melalui Schoolnet.

"Langkah ini juga dilihat dapat membantu dan memberi manfaat kepada siswazah yang mempunyai kelulusan ICT khususnya yang menganggur ketika ini," katanya.

-- BERNAMA


link : http://perkhidmatanawam.blogspot.com/2009/03/1000-siswazah-akan-dilantik-sebagai.html


No comments:

Post a Comment