Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)

Friday, July 10, 2009

KPLI News : BI tak terjejas – PM


PUTRAJAYA 9 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan matlamat untuk memantapkan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar kepentingan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, justeru ia akan diperkukuhkan menerusi penambahan waktu belajar dan guru-guru berkualiti.

Tegas beliau, pemantauan terhadap dasar PPSMI mendapati pelaksanaannya tidak seperti dihasratkan termasuk hanya lapan peratus guru yang menunjukkan keyakinan berbuat demikian.

“Malah dengan keputusan ini (mansuh PPSMI), kita akan meningkatkan kemudahan lain termasuk makmal bahasa serta pengenalan kesusasteraan Inggeris.

“Jika keadaan mengizinkan seperti mana (idea) yang dilontarkan oleh Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kemungkinan kita jadikan kelulusan bahasa Inggeris itu sebagai wajib di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap penguasaan bahasa Inggeris untuk membolehkan kita bersaing di era globalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan Kesembilan di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya kekhuatiran sesetengah pihak bahawa pemansuhan PPSMI berupa langkah ke belakang dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat terutama di peringkat persekolahan.

Najib bagaimanapun percaya jika penambahan dalam pembelajaran bahasa Inggeris dilaksanakan, seseorang itu akan lebih berkeyakinan dalam penguasaan bahasa itu termasuk dalam mata pelajaran yang menggunakan bahasa tersebut.

Mengenai kekecewaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pemansuhan PPSMI yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya enam tahun lalu, beliau berkata: “Kita tidak ada beza dari segi matlamat. Matlamatnya sama, kita dah terima betapa pentingnya bahasa Inggeris, cuma kaedah bagaimana nak sampai pada matlamatnya, itu sahaja.”

Semalam, Kabinet memutuskan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Thursday, July 9, 2009

KPLI News : Sains, Matematik kembali diajar dalam BM pada 2012




PUTRAJAYA: Kabinet semalam meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Pada sidang medianya di sini, beliau yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata penguasaan bahasa Inggeris akan terus ditingkatkan dengan me-nambah baik pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi mendapat bantahan pelbagai pihak terutama pejuang bahasa yang mahu dasar itu dikaji semula.

Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan bermula secara bertahap bagi Tahun Satu dan Empat di sekolah rendah serta Tingkatan Satu dan Empat di sekolah menengah pada 2012, tetapi tidak membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

"Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014," katanya.

Sambil menolak andaian keputusan itu dibuat akibat tekanan mana-mana pihak, Muhyiddin menegaskan:

"Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru mengajar subjek Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris."

Pemantauan kementerian pada 2008, katanya, mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Selain pemantauan kementerian, Laporan Trends in Mathematics and Sciences Study 2007 juga menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke-21 pada 2007.

Bagi subjek Matematik pula, laporan sama menyatakan kedudukan murid Malaysia merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 kepada ke-20 pada 2007.

Kajian universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah di tahap nominal, iaitu tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI yang bermula sejak 2003.

"Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu Melayu di sekolah kebangsaan dan menengah dan bahasa Cina dan Tamil di SJK Cina dan Tamil," katanya.

Mengenai langkah untuk memartabatkan bahasa Malaysia, beliau berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada asas kemahiran berbahasa menerusi pendekatan modular bersepadu meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

"Pada peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa," katanya.

INFO: Kelemahan PPSMI

  • Peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi subjek Sains dan Matematik.

  • Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada 2008 mencapai tahap profisiensi.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus sekolah luar bandar.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 untuk subjek Matematik bagi murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

  • Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Sains dan Matematik semakin melebar.

  • Saturday, June 27, 2009

    KPLI News : Makmal komputer sekolah akan jadi makmal bahasa



    KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan akan menaik taraf fungsi makmal komputer sekolah di seluruh negara untuk dijadikan sebagai makmal bahasa.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut selaras dengan peranan teknologi yang kini banyak dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

    "Sehubungan itu, perisian dan peralatan yang sesuai akan dibekalkan kepada semua sekolah bagi melaksanakan rancangan ini," katanya ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan amat komited untuk menjayakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), justeru Kementerian Pelajaran bersikap terbuka untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak bertujuan menambah baik dasar sedia ada.

    Berikutan itu jelasnya, kementerian sedang mengkaji memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris serta menekankan nahu bahasa Inggeris bagi meningkatkan mutu penulisan dan pengucapannya dalam kalangan murid.

    Katanya di samping itu, masa pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris juga akan ditambah bagi meningkatkan kandungan pengajaran.

    "Oleh itu tahap kompetensi guru bahasa Inggeris akan dipertingkatkan malah lebih ramai guru bahasa Inggeris yang berkelayakan bakal diambil untuk mengajar terutama di sekolah luar bandar," jelasnya.

    Beliau menambah, kerajaan juga sedang menimbang untuk menggunakan khidmat guru bahasa Inggeris yang berkelayakan dari luar negara untuk menampung keperluan guru bahasa Inggeris di negara ini.

    "Langkah itu akan membantu kerajaan membimbing para guru mencapai matlamat dasar PPSMI selain meningkatkan keupayaan mereka mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

    link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0624&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_05.htm&arc=hive


    Friday, June 26, 2009

    KPLI News : Guru tidak perlu kerja sampingan



    KOTA BELUD 24 Jun - Guru-guru di negeri ini diingatkan supaya tidak melakukan kerja sampingan yang boleh menjejas tumpuan sekali gus mengabaikan tanggungjawab mereka.

    Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, tidak salah melakukan kerja sampingan tetapi aktiviti itu perlu dilakukan bukan ketika sesi persekolahan dan juga tidak sehingga mengakibatkan guru terlibat kehilangan fokus untuk mengajar.

    Menurut beliau, perkembangan berkenaan sudah pun mula diperkatakan masyarakat kebelakangan ini yang bimbang dengan senario baru itu.

    "Sejak kebelakangan ini sudah ada kritikan-kritikan masyarakat yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sesetengah guru yang kurang memberi perhatian dalam kerjaya kerana terbabit dengan pekerjaan lain.

    "Terdapat guru yang menjalankan jualan langsung sehingga menjejaskan tumpuan, oleh itu, kita minta warga pendidik ini memberi perhatian 100 peratus terhadap tugas mereka," katanya.

    Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2009 peringkat daerah Kota Belud di Dewan Datuk Musbah Jamle, Kampung Taun Gusi, dekat sini hari ini.

    Abdul Rahman berkata, kebimbangan dan kegusaran yang disuarakan masyarakat terhadap isu tersebut perlu diambil perhatian serius oleh setiap warga pendidik.

    Katanya, masyarakat meletakkan harapan yang tinggi terhadap warga pendidik supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk mendidik anak-anak mereka.

    "Mereka khuatir jika warga pendidik terlibat dalam pekerjaan nombor dua seperti jualan langsung, ini akan menyebabkan tumpuan mereka terhadap kerjaya perguruan berkurangan yang akhirnya akan memberi kesan terhadap pelajar," ujarnya.

    Sehubungan itu, beliau meminta warga pendidik itu supaya kembali kepada profesion guru sepenuhnya jika masih gagal memberi keutamaan antara kerjaya guru dan kerja sampingan.

    Langkah tersebut katanya, perlu dilakukan segera untuk mereda dan melenyapkan kerisauan orang ramai terhadap isu berkenaan.


    link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0625&pub=utusan_malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm&arc=hive

    Thursday, June 25, 2009

    KPLI Update : 11,000 pembantu guru diperlukan



    Oleh Mohd Azis Ngah

    Laksana tugas perkeranian, kokurikulum

    KUALA LUMPUR: Kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan bagi meringankan beban guru yang terpaksa menjalankan 'kerja sosial' di luar tugasan seperti mengemas kini rekod, logistik, kegiatan kokurikulum dan ada antaranya menjalankan kerja penyelenggaraan bangunan sekolah.

    Ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.

    Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata jika cadangan itu dilaksanakan, pekerja am ini mengurangkan beban guru serta sebagai persiapan awal menjayakan rancangan program penilaian prestasi sekolah yang dijangka pada 2010 atau 2011.

    Katanya, kini sudah ada pembantu guru tetapi cuma disediakan untuk kelas pendidikan khas di sekolah tertentu, sedangkan pembantu itu patut disediakan pada semua 10,000 sekolah di seluruh negara.

    "Jika ini dilaksanakan, setiap sekolah akan menerima pembantu guru mengikut jumlah murid.

    "Guru tidak lagi perlu memikirkan soal 'kerja sosial' dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.

    "Tugas mengajar yang lebih penting, tiada guru yang mahu muridnya gagal, tetapi jika terlalu banyak beban, mereka akan kepenatan dan hilang fokus.

    "Bagaimana nak mengajar, sudah tentu kualitinya merosot," katanya pada sidang media di sini, semalam.

    Turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng dan pemimpin kanan NUTP. Sebelum itu, beliau menghadiri Seminar Pendidikan NUTP yang membincangkan mengenai Penilaian berasaskan sekolah dan Transformasi Pendidikan.

    Pembantu guru paling ideal atau minimum diperlukan ialah nisbah 500 (murid): 1 (pembantu) dan berdasarkan jumlah murid serta pelajar mencecah 5.5 juta orang, pembantu guru diperlukan ialah 11,000.

    Hashim berkata, pembantu guru tidak mencampuri tugas mengajar, cuma membantu guru dari aspek lain termasuk kegiatan kokurikulum seperti urusan mengendalikan latihan, pertandingan sukan atau aktiviti persatuan.

    "Jika tugas itu dijalankan pembantu, tidak timbul masalah kelas ditunda atau digantikan guru lain yang semestinya tidak mengajar di kelas ganti kerana berlainan subjek," katanya.

    NUTP juga meminta kerajaan menangguhkan sementara cadangan mewajibkan pelajar lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapatkan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyifatkan guru tidak mencukupi dan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

    "Kena kaji masalah guru di luar bandar. Kita perlukan guru pengkhususan Bahasa Inggeris, bukan setakat tangkap muat. Ini tidak menjamin kualiti, bagaimana ajar murid sedangkan guru pun tak cukup bagus, " katanya.

    link : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20090620233431/Article/


    Monday, June 22, 2009

    KPLI Review : Keputusan Temuduga dan Tawaran KPLI


    Salam Sejahtera,

    Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dalam temuduga KPLI baru-baru ini. Sudah pastinya mereka sudah mendapat tahu di mana tempat mereka akan melalui kursus tersebut. Walau di mana sekalipun anda di hantar, saya doakan anda berjaya menyerap seberapa banyak ilmu tentang bidang perguruan ini. Buktikan kepada negara bahawa guru lepasan KPLI ini setanding dengan guru lepasan maktab malahan lebih baik lagi. Hal ini kerana baru-baru ini terdapat banyak sungutan masyarakat terhadap guru lepasan KPLI ini. Sekiranya ada apa-apa yang hendak dikongsikan bersama semasa berkursus tersebut, janganlah segan silu untuk menghantar email kepada blog kpli2u ini. Semoga ilmu tersebut memberi manfaat kepada rakan kita yang masih berusaha untuk mendapat tempat mengikuti KPLI tersebut.

    Kepada mereka yang tidak berjaya, jangan susah hati. Mungkin belum sampai rezeki lagi. Lagipun saya ada terdengar khabar angin mengatakan borang pengambilan KPLI akan keluar pada 17hb Julai depan. Mengenai DPLI pula saya masih tidak pasti, tetapi rasanya dalam bulan Julai juga. Oleh itu sama-samalah kita tunggu akan kebenaran khabar angin tersebut. Sekiranya rakan sekalian ada apa-apa informasi terkini, silalah kongsikannya di blog kpli2u ini.

    Akhir kata selamat berkursus saya ucapkan kepada yang berjaya mendapat tawaran KPLI baru-baru ini. Semoga anda berjaya dan berbakti kepada agama, nusa dan bangsa suatu hari nanti.

    Wassalam

    -Guru Cyber-