Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)
Showing posts with label KPLI Update. Show all posts
Showing posts with label KPLI Update. Show all posts

Thursday, April 15, 2010

Pindaan Semakan Panggilan Temuduga KPLI-SR Ambilan Jun 2010



Assalamu'alaikum w.b.t & Salam Sejahtera,

Adalah dimaklumkan semakan penggilan temuduga on-line yang dijadualkan pada tarikh 12 April 2010 (Isnin) ditunda kepada 17 April 2010 (Sabtu). Calon dinasihatkan untuk melawati laman sesawang kementerian dari semasa ke semasa. Pihak Bahagian Pendidikan Guru kesal atas kesulitan yang berlaku.
Sebarang keterangan lanjut sila berhubung dengan Bahagian Pendidikan Guru di talian 03-88841242/1260/1253/1233/1226.

Calon juga boleh mencetak Kalendar Aktiviti terkini sebagai rujukan.
Sekian, harap maklum.


Thursday, June 11, 2009

KPLI Update : Tarikh Semakan Keputusan Temuduga KPLI




Salam Sejahtera diucapkan kepada semua pengunjung sekalian. Mungkin ada yang tertanya-tanya kemana saya menghilangkan diri. Sebenarnya saya ada, cuma biasalah cuti sekolah dua minggu ni sibuklah sikit dengan jemputan kahwin dan kenduri-kenduri lain. Masa cuti sekolah ini jugalah masa yang terbaik digunakan untuk bercuti bersama keluarga. Sekarang ni saya berada di Melaka Bandaraya Bersejarah sedang bercuti bersama keluarga.

Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang tidak jemu mengunjungi blog kpli2u ini. Terima kasih juga kepada info yang diberikan oleh saudara Adnan di ruang chat. Menurutnya Semakan Keputusan Tawaran bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Jun 2009 telah ditunda kepada 17 Jun 2009. Sebarang maklumat lanjut sila hubungi Unit Pengambilan dan Penempatan.

Pastinya calon-calon tidak sabar menunggu keputusan KPLI tersebut. Walau apapun keputusannya, terimalah dengan redha. Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan KPLI bolehlah kongsikan bersama di blog ini. Bak kata peribahasa 'bukit sama didaki, lurah sama dituruni'.

-Guru Cyber-


Wednesday, May 27, 2009

KPLI Update : GSST vs GSTT




Salam Sejahtera.

Ramai yang tertanya-tanya apakah perbezaan GSST dengan GSTT. Bunyinya hampir serupa tetapi mempunyai pengertian yang berbeza.

GSST bermaksud Guru Sandaran Siswazah Terlatih. GSST ini adalah jawatan bagi guru lepasan bidang pendidikan yang baru 'posting' dan masih belum mendapat surat perlantikan. Kebiasaannya surat perlantikan akan dikeluarkan dalam masa 3-6 bulan selepas penempatan guru tersebut. Selepas dilantik guru tersebut sudah tidak bergelar GSST. Namun guru tersebut perlu menunggu proses sahkan jawatan. Proses sah jawatan ini kebiasaanya mengambil masa satu tahun atau lebih. Selepas disahkan jawatan barulah guru tersebut tertakluk sepenuhnya di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

GSTT pula bermaksud Guru Sandaran Tidak Terlatih. Jawatan GSTT ini dikeluarkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tempatan berdasarkan keperluan sekolah di daerah berkenaan. Tujuan GSTT ini adalah untuk mengisi kekosongan guru. Ianya boleh dikatakan sebagai guru sementara sehinggalah guru sebenar 'posting' di sekolah berkenaan. Lazimnya kontrak GSTT ini ditawarkan selama satu tahun. Tetapi kontrak GSTT boleh ditamatkan serta-merta sekiranya ada guru sebenar yang 'posting' ke sekolah berkenaan. Kebiasaannya PPD akan cuba memindahkan guru GSTT terbabit ke sekolah lain dari terus menamatkan perkhidmatannya. Pengalaman sebagai GSTT ini penting kerana ianya amat membantu apabila memohon KPLI atau DPLI kelak. Jangka hayat GSTT ini tidak tetap. Selagi diperlukan selagi itulah kontraknya akan disambung tahun demi tahun sehinggalah diserap menjadi guru tetap ataupun ditamatkan perkhidmatannya.

Kepada semua rakan guru yang di hormati sekalian, tidak perlulah kita membanding-bandingkan jawatan yang dipegang. Semuanya sehala ke arah mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna. Bak kata peribahasa 'Sedencing bagai besi, seciap bagai ayam'. Renungkanlah.

-Guru Cyber-

Monday, May 25, 2009

KPLI Update : Mitos Temuduga KPLI/DPLI 2009




Ingin saya jelaskan di sini, beberapa mitos temuduga KPLI/DPLI


1. Untuk berjaya dalam temuduga kpli/dpli, saya perlu ada KABEL

Ini adalah antara mitos paling popular yang saya jumpa. Calon merasakan mereka perlukan KABEL atau bantuan orang dalam untuk berjaya dalam temuduga sedangkan ternyata, daripada tahun 2003 hingga sekarang, majoriti calon yang berjaya adalah calon yang tidak bergantung pada bantuan orang dalam. Mereka berusaha keras untuk berjaya dan penemuduga juga tidak ‘menyampah’ dengan mereka. Tahukah anda, majoriti penemuduga amat benci dengan calon yang cuba memasuki bidang perguruan dengan cara menggunakan bantuan orang dalam ? Penemuduga bukanlah calang-calang orang, yang mudah ditipu dan diperdaya. Mereka terdiri daripada ketua-ketua jabatan IPG, pensyarah-pensyarah yang berbelas-belas tahun mengabdikan diri untuk menghasilkan guru-guru di Malaysia dan Pengarah-pengarah pendidikan di IPG seluruh negara. Golongan-golongan profesional ini sebenarnya dilatih untuk menemuduga calon, bukan main pilih tangkap muat sahaja jadi berhati-hati…Ada calon yang dihalau dari bilik penemuduga kerana ketika itu, calon dengan tan segan silunya menceritakan perihal bapa saudaranya, yang merupakan antara VIP di Malaysia..

 

2. Temuduga Perguruan adalah SAMA sahaja dengan temuduga mohon kerja yang lain 

Ini satu lagi mitos besar dalam temuduga kpli mahupun dpli. Yang lebih mengejutkan, ada calon yang sebelum ini bekerja sebagai panel penemuduga ( bahagian Human Resource Syarikat ), calon ini memang tugasnya menemuduga pekerja-pekerja baru di syarikat tempat beliau bekerja sebelum ini  juga GAGAL dalam temuduga kpli/dpli. Ya memang mengejutkan. Bukan seorang dua tetapi terlalu ramai yang menganggap persediaan temuduga perguruan adalah sama dengan persediaan temuduga kerja yang lain, sedangkan ia ibarat minyak dan air. Mereka melakukan pendekatan yang STEREOTYPE, dan membosankan, di mana majoriti calon lain juga mengamalkan teknik dan kaedah yang sama, malah jawapan mereka pun hampir sama. Apabila ini berlaku, calon-calon akan kelihatan BIASA sahaja di mata penemuduga dan tiada bezanya dengan calon lain, yang mungkin lebih hebat dari segi pencapaian akademik mereka.Bagaimana untuk ‘Stand Out’ sedangkan orang lain, terutamanya calon yang memiliki pakej ekpli.com datang untuk temuduga dengan keadaan bersedia dan sarat dengan maklumat serta KEJUTAN ?

Ada calon yang pernah ditemuduga sehingga 3 kali dan 3 kali juga gagal kerana masih mengamalkan kaedah yang lama dan STEREOTYPE..Mereka gagal memenuhi apakah Kehendak Penemuduga, khususnya Kehendak Kementerian Pendidikan, sebaliknya calon-calon ini terlalu yakin dengan proses temuduga mereka serta seringkali Syok Sendiri bila sedang ditemuduga.

dan banyak lagi mitos-mitos besar yang tidak diketahui oleh calon. Ini sangat membimbangkan dan yang peliknya, mereka tidak ambil pusing tentang perkara-perkara ini. Mereka lebih suka menyambung kerja asal mereka, membaca buku-buku rujukan Perkhidmatan Awam yang berlambak-lambak di pasaran dan menunggu hari temuduga. Ini adalah satu kerugian, lebih-lebih lagi merugikan apabila mereka sendiri tidak tahu apakah yang akan mereka hadapi nanti.

Saya berharap dengan adanya pakej ekpli.com di http://www.ekpli.com  , sedikit sebanyak beban anda untuk menghadapi temuduga dapat diringankan..Bukan itu sahaja, malah saya sentiasa meluangkan masa untuk calon. Saya tidak kisah jika calon menelefon saya hatta pada jam 2-3 pagi pun semata-mata untuk bertanya dan berbincang kerana bagi saya, kejayaan untuk bergelar seorang guru itu terlalu MANIS…ia perlukan usaha berterusan dan usaha yang betul. Tiada maknanya jika ada calon yang masih ego dan masih bersikap ‘aku dah tahu’ kerana dibimbangi, calon tersebut akan menggigit jari dan menyesal setelah keputusan diumumkan.

Tiada guna lagi menyesal ketika itu….Pada ketika itulah,calon yang gagal akan membuat rayuan, bersama-sama ribuan calon lain dan mengharapkan belas ihsan orang lain, pendek kata nasi sudah menjadi bubur, menyesal pun sudah terlewat..Calon merasakan mereka berhak membuat rayuan dan bila mereka mendengar orang lain yang merayu juga mendapat tempat, mereka pun turut serta membuat rayuan secara membabi buta tanpa mempunyai visi yang jelas tentang dunia perguruan..

 

link : http://ekpli.com/blog/kpli/mitos-temuduga-kplidpli-2009.html

Sunday, May 24, 2009

KPLI Update : GSTT vs Guru Kontrak




Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana caranya untuk menjadi cikgu. Kita sudah sedia maklum kerajaan telah menyediakan dua jenis kursus untuk mahasiswa bukan bidang perguruan untuk berpeluang menjadi guru. Iaitu dengan mengikuti KPLI dan DPLI. Namun terdapat cara lain yang membolehkan kita menjadi cikgu. Antaranya ialah dengan menjadi GSTT dan Guru Kontrak. 

GSTT bermaksud Guru Sandaran Tidak Terlatih. Jawatan GSTT ini dikeluarkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tempatan berdasarkan keperluan sekolah di daerah berkenaan. Tujuan GSTT ini adalah untuk mengisi kekosongan guru. Ianya boleh dikatakan sebagai guru sementara sehinggalah guru sebenar 'posting' di sekolah berkenaan. Lazimnya kontrak GSTT ini ditawarkan selama satu tahun. Tetapi kontrak GSTT boleh ditamatkan serta-merta sekiranya ada guru sebenar yang 'posting' ke sekolah berkenaan. Kebiasaannya PPD akan cuba memindahkan guru GSTT terbabit ke sekolah lain dari terus menamatkan perkhidmatannya. Pengalaman sebagai GSTT ini penting kerana ianya amat membantu apabila memohon KPLI atau DPLI kelak. Jangka hayat GSTT ini tidak tetap. Selagi diperlukan selagi itulah kontraknya akan disambung tahun demi tahun sehinggalah diserap menjadi guru tetap ataupun ditamatkan perkhidmatannya.

Guru Kontrak pula adalah satu dari usaha terkini kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran di tahun 2009 ini. Guru kontrak ini akan ditawarkan kontrak selama 6 bulan bermula dari tarikhnya berkhidmat. Selain itu penempatan guru ini bergantung kepada kementerian pelajaran negeri. Jangka hayat guru kontrak sudah tetap iaitu 6 bulan. Ini bermakna guru kontrak ini akan menghitung hari untuk ditamatkan sejak dari perlantikannya sebagai guru kontrak.

Oleh itu dapatlah disimpulkan di sini kedua-dua jawatan ini hanyalah sementara. Kedua-duanya ada pro dan kontra bergantung kepada yang menilai. Pendek kata tepuk dada tanyalah selera.

Wassalam

-Guru Cyber-

Saturday, May 23, 2009

Temuduga KPLI : Tips-Tips Temuduga




Salam Sejahtera..

Di sini ada beberapa tips ringkas untuk temuduga KPLI.

1. Berpakaian kemas dan seperti seorang guru.
Termasuk dari segi potongan rambut. Bertali leher , pakaian berseterika dan menggunakan padanan warna yang sesuai. Maksud saya ialah padangan warna tali leher dengan baju atau pun padanan seluar dengan baju. Bagi penjawat awam, baju hendaklah berlengan panjang dan berwarna cerah. Seluar pula sebaiknya warna hitam atau biru gelap.

2. Datang lebih awal.
Samaada paling kurang 15 minit awal. Supaya anda lebih bertenang dan tidak kelam kabut. Ini kerana berkemungkinan juga tempat parking agak jauh dan mungkin penuh.

3. Susun sijl dengan teratur.
Kalau tidak silap saya paling atas mengikut susunan ialah surat kelahiran, kad pengenalan, kemudian sijil akademik yang lain. Kebiasaannya sijil akademik disusun mengikut yang paling tinggi sehinggalah yang paling rendah (cth dari sijil ijazah ke sijil PMR). Pastikan anda telah membuat salinan bagi semua sijil-sijil tersebut dan dapatkan pengesahan. Semasa saya pergi temuduga dahulu ada calon yang tidak membuat pengesahan pada sijil tersebut, tetapi ada pegawai di tempat temuga yang baik hati membuat pengesahan.

4. Soalan-soalan yang biasa akan ditanya ialah:
Terangkan secara ringkas mengenai diri kamu. Soalan boleh ditanya dalam bahasa Inggeris atau Melayu.
Falsafah pendidikan guru, plan induk pendidikan (PIPP), Nama menteri dan pengarah pelajaran.
Mengapa kamu berhenti bekerja dan sanggup menjadi guru …. Sekiranya calon pernah bekerja dan mempunyai gaji yang lumayan berbanding guru.
Apakah sumbangan yang kamu akan berikan dalam pendidikan dengan kemahiran yang kamu ada.
Sanggupkah kalau kamu akan dihantar ke Sabah atau Serawak atau sekolah luar Bandar yang serba kurang.
Pandangan anda berkenaan dengan isu semasa terutama isu yang berkaitan dengan perguruan. Contohnya isu PPSMI.

Dan banyak lagi soalan yang akan ditanya berkaitan dengan kebolehan anda dan sumbangan. Jawab soalan dengan tenang.

Boleh klik link di bawah untuk pelbagai tips lagi:

Friday, May 22, 2009

KPLI Update : KPLI vs KDC




Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung setia yang tidak jemu-jemu mengunjungi blog kpli2u ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa lama saya tidak menulis sendiri di sini. Untuk pengetahuan semua, baru-baru ini saya tidak berapa sihat dan sehingga sekarang pun masih belum pulih sepenuhnya. Namun saya gagahkan jua untuk menulis kali ini ikhlas demi pengunjung yang saya hargai sekalian. Jangan risau bukan demam H1N1 lagi.

Hari saya ingin membincangkan perbezaan antara KPLI vs KDC. Mungkin anda semua tahu apa itu KPLI. KPLI seperti yang kita semua sedia maklum adalah Kursus Perguruan Lepasan IjazahPemohon yang layak memohon mestilah bertaraf warganegara Malaysia, berumur tidak melebihi 35 tahun, memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA)/ institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan atau luar negara dan diiktiraf oleh kerajaan. Selain itu pemohon juga mestilah memiliki Kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V) dan lulus ujian lisan di dalam satu sijil atau lulus kertas khas Bahasa Melayu di peringkat universiti / IPTA tempatan yang diiktiraf. Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM boleh menggantikan kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V) dengan syarat lulus ujian lisan. Bagi calon Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah j-QAF hendaklah memiliki ijazah sama ada dalam bidang Pengajian Islam atau Pengajian Bahasa Arab atau bidang yang berkaitan. Calon yang memenuhi syarat permohonan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah diwajibkan menduduki Ujian Pemilihan Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test – MTeST) dan temu duga yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Keutamaan akan diberi kepada calon yang mempunyai ijazah yang tepat dan bersesuaian dengan bidang yang dipohon. Calon yang berjaya ditawarkan kursus akan menerima surat tawaran rasmi semasa melapor diri di Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan. Calon yang ditawarkan tempat berkursus dan setelah tamat pengajian adalah tertakluk kepada ikatan Perjanjian Pendidikan Guru dimana calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan syarat kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah atau institusi pendidikan seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan setelah tamat berkursus. Bagi calon yang tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu (1) bulan selepas tarikh pendaftaran di institut pendidikan guru adalah dianggap tidak berjaya. Bahagian ini tidak akan mengeluarkan maklumat secara bersurat kepada calon. Kelemahan KPLI ini ialah guru yang tamat berkursus berkemungkinan untuk dihantar ke serata ceruk Malaysia bergantung kepada keperluan sekolah.

Hal ini berlainan pula dengan KDC. KDC bermaksud Kursus Dalam Cuti. Lazimnya KDC diberikan kepada guru sekolah rendah yang hendak dinaiktarafkan kepada ijazah. Selain itu KDC juga diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk diserap menjadi guru tetap. Permohonan KDC ini bergantung kepada sokongan Pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah berkenaan. Calon yang ditawarkan KDC ini akan berkhidmat seperti biasa di sekolahnya bertugas. Cuma calon ini akan pergi belajar di Maktab Perguruan semasa cuti sekolah. Tempoh belajar bagi calon KDC ini adalah satu tahun. Kelebihan KDC ini ialah guru berkenaan tetap berkhidmat di sekolah yang sama dan tidak akan ditukarkan ke sekolah lain bagi tempoh 3 tahun. Gaji guru KDC juga akan berjalan penuh seperti biasa sepanjang tempoh kursusnya.

Oleh itu tidak kisahlah yang mana satu sekalipun kursus yang dipilih. Kedua-duanya menuju ke arah profession perguruan yang mulia ini. Marilah kita bersama-sama memartabatkan bidang perguruan ini bak kata pepatah 'Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.

Wassalam.

-Guru Cyber-

Thursday, May 21, 2009

KPLI Update : Perlukah KPLI Diteruskan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

PEPATAH guru ibarat sebatang lilin yang sanggup membakar diri bagi menerangi orang lain nampaknya semakin menjadi tidak relevan lagi hari ini.

Kebelakangan ini, pelbagai isu yang berkisar dalam dunia perguruan semakin menghakis tanggapan mulia terhadap kerjaya yang satu ketika dulu terlalu tinggi darjatnya.

Guru dalam nilai kerjayanya hari ini tidak banyak bezanya seperti kerjaya-kerjaya komersial lain yang di penghujung usahanya adalah ganjaran dalam bentuk gaji bulanan.

Bayangan seperti ini semakin ketara rentetan daripada keluhan demi keluhan guru mengenai tanggungjawab mereka yang dikatakan semakin membebankan.

Antara puncanya, seperti yang dijelaskan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini, kerana sebahagian besar peranan ibu bapa telah diserahkan kepada guru.

Banyak lagi perkara-perkara remeh lain yang dikaitkan dalam kerjaya perguruan sehingga menyumbang kepada beban tugasan yang tidak lagi boleh ditanggung oleh seorang guru.

Sukar untuk menelah bagaimana peranan sebenar yang dimainkan oleh guru ketika ini.

Adakah hayunan langkah guru ke sekolah setiap pagi atau tengah hari hanya dengan perasaan untuk menunaikan tuntutan kerjaya semata-mata, sama seperti seorang buruh binaan yang perlu menyudahkan sebuah bangunan di tapak projek pembinaan?

Atau terdetikkah di hati seorang guru bahawa rutin harian mereka sepanjang waktu persekolahan adalah satu misi kemanusiaan yang sangat besar amanahnya dalam melahirkan seorang insan yang tidak hanya tinggi pemikiran tetapi juga mulia akhlak dan keperibadian?

Tidak dinafikan, tumpuan yang terlalu tinggi sesetengah sekolah dalam mencapai peratusan kecemerlangan dalam peperiksaan utama sedikit sebanyak menyebabkan peranan sebenar guru tersasar daripada landasannya.

Dalam mengejar peratusan itu, guru pastinya dikerah untuk lebih memberikan perhatian terhadap aspek kecemerlangan akademik dengan harapan pelajar mereka mampu mengutip sebanyak mungkin gred A dalam peperiksaan tersebut.

Tanpa disedari, situasi ini menyebabkan aspek lain dalam pembentukan seorang pelajar yang cemerlang seperti akhlak dan peribadi yang mulia sedikit terabai.

Memang ada aktiviti sekolah yang menjurus ke arah pembentukan akhlak dan rohani seorang pelajar yang syumul, tetapi keberkesanannya boleh saja dipersoal melihat kebejatan sosial pelajar-pelajar yang sangat membimbangkan.

Pastinya tidak adil jika keruntuhan moral di kalangan generasi muda ini diletakkan di bahu guru semata-mata.

Namun, sebagai individu yang paling dekat dengan pelajar-pelajar selepas ahli keluarga, peranan guru dalam mencorak akhlak dan keperibadian generasi muda adalah sesuatu yang tidak boleh disangkalkan.

Andai kata pelajar-pelajar ini menghadapi masalah dalam hubungan kekeluargaan mereka di rumah, siapakah lagi yang paling layak untuk mereka mengharapkan pertolongan dan perhatian?

Tanggungjawab seperti ini tidak begitu ketara dalam perhubungan guru dan pelajar dalam persekitaran sekolah hari ini.

Pendekatan guru dalam menangani perkara sebegini kebiasaannya lebih kepada hukuman fizikal seperti rotan atau gantung sekolah yang secara psikologinya mewujudkan sikap penentangan yang semakin dahsyat.

Lalu, pengajaran yang diharapkan diterima oleh pelajar-pelajar bermasalah daripada hukuman fizikal sebegini bertukar menjadi satu titik yang semakin melonjakkan sikap negatif pelajar berkenaan.

Apa yang diperlukan oleh pelajar bermasalah adalah pengajaran dalam bentuk teladan yang secara terus menyerap ke dalam jiwa dan fikiran mereka.

Teladan seperti inilah yang perlu ada dan dicontohi daripada seorang guru dan tuntutan itu tidak hanya ketika mereka bergelar seorang ‘guru’ sebaliknya dalam keseluruhan hidup mereka.

Sukar untuk tidak mengaitkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang semakin popular hari ini dalam permasalahan nilai-nilai seorang guru seperti yang berlaku memandangkan kebanyakan guru yang dilahirkan daripada kursus ini rata-ratanya siswazah muda.

Lebih parah apabila KPLI dijadikan jalan keluar oleh siswazah dalam desakan mencari pekerjaan sekali gus tidak membayangkan keinginan dan hasrat sebenar mereka sebagai seorang pendidik.

Uniknya mengenai KPLI ini, seorang guru boleh dilahirkan dalam tempoh pengajian kira-kira setahun dengan bidang serta pengkhususan mengenai pendidikan yang semestinya dipendekkan.

Justeru terlalu mudah untuk melihat kelemahan pelaksanaan KPLI dalam melahirkan seorang guru yang sebenar jika dibandingkan dengan guru yang dilahirkan daripada maktab perguruan sedikit masa dahulu.

Benar siswazah ini sudah mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang, tapi kriteria itu sahaja tidak memadai untuk melayakkan mereka bergelar seorang guru yang baik.

Mungkin sudah tiba masanya pelaksanaan KPLI ini dikaji semula apatah lagi ketika beberapa laporan bahawa terdapat pelajar pengajian pendidikan tidak mendapat tempat mengajar kerana perlu bersaing dengan guru lepasan KPLI ini.

Sedangkan tujuan utama pelaksanaan KPLI sebelum ini adalah untuk menampung kekurangan guru lepasan pengajian pendidikan namun situasi yang berlaku kini menjadi sebaliknya.

Pengkhususan pengajian KPLI juga barangkali perlu disemak semula dengan memberi lebih penekanan kepada usaha dan pendekatan seorang guru dalam membina jati diri dan membentuk rohani pelajar yang syumul dan bukannya bijak dalam peperiksaan semata-mata.

Sejak sekian lama, guru sangat berbangga apabila jasa dan pengorbanan mereka diagungkan kerana melahirkan seorang Perdana Menteri, doktor, peguam, jurutera dan banyak lagi.

Pastinya kita tidak mahu satu hari nanti kebanggaan ini dicemari apabila jasa seorang guru dikaitkan dengan gejala mat rempit, bohsia, penagih dadah dan sampah masyarakat lainnya.


link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0124&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

Minda Pengarang : Kerajaan Sentiasa Berusaha Tingkat Taraf Perguruan


PROFESION perguruan kini diberi pengiktirafan kerajaan menerusi Skim Gred Khas C dan Pengetua Jusa C serta gred lain yang membolehkan ramai guru menikmati gaji lebih tinggi berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Latihan diterima juga semakin baik dan kini hampir semua guru sekolah menengah dan lebih 50 peratus di sekolah rendah mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, berbanding sebelum ini dengan kelayakan mereka sekadar diploma atau sijil perguruan. Dengan itu, guru lebih berpengetahuan mendidik pelajar. Ramai juga di antara mereka kini mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah. Kita bangga kerana guru di Malaysia mempunyai kelayakan akademik tinggi berbanding rakan mereka di negara membangun lain seperti India, Pakistan, Thailand, Indonesia dan China. Sememangnya, dari segi kelayakan, guru kita cukup berkelayakan. Sebagai menghargai dan memberi penghormatan kepada guru, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan sudah meluluskan pertambahan 2,141 kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah menengah di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta. Dengan itu, kerajaan berharap insentif berkenaan mendorong mereka mengamalkan budaya kerja lebih cemerlang. Dengan penambahan kuota itu, perjawatan untuk guru dan pengetua cemerlang meningkat daripada 5,984 sebelumnya kepada 8,125 sekarang. 

Bagaimanapun, mungkin sesetengah pihak masih tidak berpuas hati dengan pertambahan itu jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan warga pendidik, iaitu 370,000 seperti disuarakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Sudah tentu kerajaan atau lebih tepat lagi Kementerian Pelajaran mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menambah jumlah yang lebih banyak buat masa ini. Hakikatnya, ia adalah satu langkah yang baik dan kerajaan sudah tentu tidak dapat memenuhi semua tuntutan NUTP, seperti juga pelbagai permintaan lain dikemukakan oleh badan seperti Cuepacs atau Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) yang sesetengahnya sukar dipenuhi kerajaan, sekurang-kurangnya buat masa sekarang ketika negara berdepan keadaan ekonomi muram. Apapun, ini tidak bermakna kerajaan tidak peka dan pasti kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya apabila tiba masanya nanti seperti tuntutan NUTP yang mahukan elaun sara hidup (Cola) dan elaun guru besar serta pengetua yang diperjuangkannya sejak lebih tiga tahun lalu, dinaikkan. Memang benar pertambahan kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang itu dinikmati sebahagian kecil guru, tetapi kita yakin dari semasa ke semasa, Kementerian Pelajaran akan mempertimbang untuk menambahkan jumlahnya. Untuk layak memohon guru dan pengetua cemerlang ialah mencapai tempoh perkhidmatan sehingga 10 tahun. Namun, kita juga mengalu-alukan persetujuan kerajaan mewujudkan jawatan guru cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah. Semua langkah itu untuk kebaikan dan masa depan pelajar sendiri, bagi memastikan mereka mendapat ilmu berguna daripada guru yang cemerlang.

Monday, May 18, 2009

Temuduga KPLI : Pusat Kegiatan Guru



Mungkin ramai yang pernah melihat bangunan Pusat Kegiatan Guru (PKG) yang tersergam indah sekeliling kita. Namun pernahkah kita terfikir apakah fungsi PKG tersebut?

Pusat Kegiatan Guru (PKG) adalah merupakan sebuah unit yang ditubuhkan di bawah Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan di dalam rangkaian Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan memberi khidmat sokongan dan latihan kepada guru-guru dalam penggunaan Teknologi Pendidikan dalam pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

PKG berkonsepkan perkhidmatan kelompok yang menyediakan khidmat sokongan kepada guru-guru daripada beberapa buah sekolah yang berdekatan. Oleh itu, kebiasaannya terdapat lebih daripada sebuah PKG dalam satu-satu Daerah Pendidikan.


Antara fungsi PKG

Fungsi 1:  Memantau Sekolah Dan Memberi Khidmat Bantu Tentang Penggunaan Teknologi Pendidikan Dan Media

Fungsi 2:  Menjadi Pusat Rujukan Penggunaan Teknologi Pendidikan, Media dan ICT

Fungsi 3:  Melapor Kepada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri

Pengurusan PKG


Untuk maklumat lengkap klik link di bawah:

Friday, May 15, 2009

Kerja Kosong : Guru Kontrak



Temuduga Terbuka Jawatan Kontrak Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Negara Untuk Berkhidmat Di Jabatan Pelajaran Negeri

Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan seperti dinyatakan di bawah untuk menghadiri sesi temuduga terbuka untuk berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri bagi jawatan di bawah;

JAWATAN:

1) GURU SISWAZAH KONTRAK

SYARAT : Ijazah Sarjana Muda

TEMPOH KONTRAK : 1 JUN – 31 DISEMBER 2009

BAYARAN : RM2,000 Sebulan

BIDANG YANG DIPERLUKAN : Bahasa Melayu / Sains / Matematik / Bahasa Inggeris / Teknologi Maklumat / Pendidikan Jasmani / Sains Pertanian / Ekonomi Rumahtangga / Teknologi Pejabat / Sains Sosial / Teknik & Vokasional

2) PEGAWAI TADBIR KONTRAK

SYARAT : Ijazah Sarjana Muda

TEMPOH KONTRAK : 1 JUN – 31 DISEMBER 2009

BAYARAN : RM2,000 Sebulan

KEKOSONGAN : 560 Kekosongan

3) PENOLONG PEGAWAI TADBIR KONTRAK

SYARAT : Diploma / Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

TEMPOH KONTRAK : 1 JUN – 31 DISEMBER 2009

BAYARAN : RM1,600 Sebulan

KEKOSONGAN : 293 Kekosongan

4) PEMBANTU TADBIR KONTRAK

SYARAT : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

TEMPOH KONTRAK : 1 JUN – 31 DISEMBER 2009

BAYARAN : RM1,200 Sebulan

KEKOSONGAN : 244 Kekosongan


BUTIR-BUTIR TEMUDUGA TERBUKA :

MASA PENDAFTARAN : 8.30 Pagi – 1.00 Tengahari

MASA TEMUDUGA : 9.00 Pagi – 5.00 Petang

TARIKH, NEGERI & TEMPAT :

13 MEI 2009 (RABU)

W.P.KUALA LUMPUR
-Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Persiaran Duta, K.Lumpur

KEDAH
-Jabatan Pelajaran Kedah, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah.

PULAU PINANG
-Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Leboh Downing, Pulau Pinang
-Bahagian Teknologi Pendidikan, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai Utara.

PERAK
-Jabatan Pelajaran Perak, Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh, Perak.

SELANGOR
-Jabatan Pelajaran Selangor, Seksyen 6, Jln Cenderawasih 6/7, Shah Alam.

NEGERI SEMBILAN
-Pusat Kegiatan Guru Kawasan Ampangan, Km.4, Jalan Kuala Pilah, Seremban.

MELAKA
-Jabatan Pelajaran Melaka, Jalan Bukit Beruang, Melaka.

KELANTAN
-Bahagian Teknologi Pendidikan, Jalan Maktab, Pengkalan Chepa, Kelantan.

SABAH
-SM Maktab Sabah, Kota Kinabalu.
-Pejabat Pelajaran Daerah Sandakan.
-Pejabat Pelajaran Daerah Tawau.
-Pejabat Pelajaran Daerah Keningau.

PERLIS
-Jabatan Pelajaran Perlis, Jalan Tun Abdul Razak, Kangar.

SARAWAK
-Pusat Kegiatan Guru Kuching, RPR Fasa 1, Jalan Astana, Petra Jaya, Kuching.
-SMK Kampung Nangka, Sibu.
-Pejabat Pelajaran Miri, Wisma Persekutuan, Miri.

19 MEI 2009 (SELASA)

PAHANG
-Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

JOHOR
-Pusat Kegiatan Guru, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

20 MEI 2009 (RABU)

TERENGGANU
-Bahagian Teknologi Pendidikan, Marang.

PERHATIAN:

a) Etika berpakaian :
Lelaki – Kemeja lengan panjang, bertali leher dan berkasut
Perempuan – Pakaian yang sesuai dan kasut bertutup

b) Membawa sijil asal dan salinan sijil yang disahkan

c) Membawa 2 keping gambar berukuran passport

KETERANGAN LANJUT SILA LAYARI : http://www.moe.gov.my/tayang.php?laman=pemberitahuan&unit=utama&info=225&bhs=my&mod=baca

LAGI KERJA KOSONG TERKINI : http://www.kerjakosong-terkini.blogspot.com

link : http://sharimi.wordpress.com/2009/05/07/kerja-kosong-terkini-jom-cari-kerja/

KPLI Update : Teras Perkhidmatan Cemerlang




Teras perkhidmatan cemerlang dalam profession perguruan:
  • Berazam meninggikan mutu perkhidmatan
  • Bekerja dengan penuh tanggungjawab
  • Berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri
  • Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan
  • Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara
  • Berpegang teguh kepada ajaran agama
-Guru Cyber-

Thursday, May 14, 2009

KPLI Update : Wajarkah Guru Dibebankan Dengan Tugas Pengkeranian ?




Salam Sejahtera

Hari ini merupakan hari khamis kedua dalam bulan Mei. Seperti kebiasaannya, kakitangan awam akan memakai baju batik pada hari ini. Sekaligus mengangkat martabat batik dan mewarnai persekitaran tempat kerja agar kelihatan ceria selalu.

Hari ini saya suka menyentuh satu topik berkenaan wajarkah guru dibebankan dengan tugas pengkeranian. Saban hari kita selalu mendengar pelbagai keistimewaan yang diberikan kepada guru. Namun pernahkah anda mendengar rintihan para guru berkenaan bebanan tugas yang diberikan kepada mereka. Jarang sekali guru meluahkan apa yang terbuku di hati mereka. Tidak hairanlah guru dianggap sebagai lilin yang sanggup membakar dirinya untuk menerangi orang lain.

Rakan guru yang saya kasihi sekalian, Dalam era yang semakin mencabar ini, generasi guru berdepan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan komitmen yang lebih untuk diberikan dalam mendidik anak bangsa. Amanah yang digalas bagi memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan generasi yang seimbang begitu berat. Ia menjadi bertambah bebanan ini apabila  apa yang berlaku dalam masyarakat dari aspek gejala sosial dan kerosakan-kerosakan lain dipertanggungjawabkan juga kepada kualiti pendidikan guru-guru di sekolah.

Bagi kami, guru tidak sewajarnya difungsikan dengan terlalu banyak fokus. Hal ini akan menyebabkan penumpuan mereka kepada proses mendidik pelajar-pelajar menjadi terganggu. Tugas-tugas pengkeranian di sekolah yang dipertanggungjawabkan kepada guru harus diteliti kembali secara serius. Ini belum lagi peranan yang mereka perlu mainkan dalam program-program besar yang dibuat di sekolah seperti Hari Sukan, Hari Anugerah Kecemerlangan dan pelbagai sambutanlain  lagi. Sudah terlalu kerap rungutan ini disuarakan tetapi seolah-olah ia menjadi seperti desiran angin di tepi pantai  sahaja. Oleh itu jalan penyelesaian yang terbaik haruslah digerakkan segera oleh pihak-pihak berkenaan.
 
Selain itu juga, kami melihat intitusi perguruan kini perlu terus diperkasakan dengan sokongan daripada pelbagai pihak. Dengan pelbagai isu yang berlaku di sekolah dan masyarakat sewajarnya kita tidak membiarkan hanya pihak sekolah dan guru-gurunya sahaja  berusaha mengatasi perkara ini. Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jawatankuasa Penduduk, Persatuan Alumni sekolah, parti-parti politik, pertubuhan belia serta apa sahaja entiti yang ada dalam masyarakat perlu mengembeling tenaga dan komitmen bagi melahirkan generasi masa akan datang yang boleh kita pertanggungjawabkan amanah membangunkan Malaysia pada masa hadapan nanti.
 
Saya harap ianya memberi gambaran jelas betapa sukarnya para guru dalam mendidik anak bangsa. Oleh yang demikian, sempena sambutan
hari guru tahun ini perlulah kita sambut dengan memberikan suatu suasana baru kepada guru-guru Malaysia. Saya akhiri perbincangan ini dengan serangkap peribahasa '
hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah''. Renungkanlah.

-Guru Cyber-



Wednesday, May 13, 2009

Langkah-langkah Untuk Mempertingkatkan Tahap Profesionalisme Perguruan




1.       Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan
  • Kemahiran ikhtisas penting bagi setiap guru kerana itu mendorong dan membantu guru menyampaikan pengajaran kepada para pelajar.
  • Bagi memperkembangkan kemahiran, guru boleh mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh jabatan.  Kursus-kursus tersebut termasuklah juga Kursus Dalam Perkhidmatan dan Kursus Dalaman.
2.       Membuat penyelidikan dan penulisan
  • Penyelidikan dan penulisan dalam pendidikan antaranya bertujuan untuk mencari kelemahan-kelemahan atau masalah yang terdapat dalam sistem pendidikan atau pengajaran seseorang guru.
  • Contoh permasalahan yang boleh dikenalpasti dalam proses penyelidikan ialah, penggunaan bahan bantu pelajaran, strategi dan kaedah mengajar, pengurusan aktiviti berkumpulan, perancangan aktiviti pemulihan dalam pendidikan dan penyediaan lembaran kerja sebagai penilaian.
3.       Usaha ke arah perkembangan kendiri
  • Guru perlu meningkatkan perkembangan kendiri masing-masing.  Perkembangan tersebut akan melibatkan pembentukan konsep kendiri seterusnya mempengaruhi cara kerja seseorang guru.
  • Guru yang mempunyai konsep kendiri yang baik seperti yakin, bersikap terbuka, percaya dan mempunyai nilai-nilai diri yang baik akan membantu guru tersebut melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan.  Ini seterusnya akan meningkatkan kualiti pengajaran seseorang guru.
4.       Peka terhadap perkembangan pendidikan dan teknologi terkini
  • Guru yang baik perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan terkini.  Mereka harus sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.
  • Setiap guru juga perlu bersedia menerima sebarang perubahan sistem pendidikan agar pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.
5.       Pembelajaran sepanjang hayat
  • Pembelajaran sepanjang hayat membolehkan ilmu seseorang guru itu lebih dinamik.
  • Ilmu pengetahuan akan membolehkan guru menyampaikan banyak maklumat kepada pelajar.  Ini akan mewujudkan keyakinan dan kebolehpercayaan pelajar terhadap seseorang guru.