Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)
Showing posts with label Gred DG41. Show all posts
Showing posts with label Gred DG41. Show all posts

Thursday, May 21, 2009

Minda Pengarang : Kerajaan Sentiasa Berusaha Tingkat Taraf Perguruan


PROFESION perguruan kini diberi pengiktirafan kerajaan menerusi Skim Gred Khas C dan Pengetua Jusa C serta gred lain yang membolehkan ramai guru menikmati gaji lebih tinggi berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Latihan diterima juga semakin baik dan kini hampir semua guru sekolah menengah dan lebih 50 peratus di sekolah rendah mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, berbanding sebelum ini dengan kelayakan mereka sekadar diploma atau sijil perguruan. Dengan itu, guru lebih berpengetahuan mendidik pelajar. Ramai juga di antara mereka kini mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah. Kita bangga kerana guru di Malaysia mempunyai kelayakan akademik tinggi berbanding rakan mereka di negara membangun lain seperti India, Pakistan, Thailand, Indonesia dan China. Sememangnya, dari segi kelayakan, guru kita cukup berkelayakan. Sebagai menghargai dan memberi penghormatan kepada guru, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan sudah meluluskan pertambahan 2,141 kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah menengah di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta. Dengan itu, kerajaan berharap insentif berkenaan mendorong mereka mengamalkan budaya kerja lebih cemerlang. Dengan penambahan kuota itu, perjawatan untuk guru dan pengetua cemerlang meningkat daripada 5,984 sebelumnya kepada 8,125 sekarang. 

Bagaimanapun, mungkin sesetengah pihak masih tidak berpuas hati dengan pertambahan itu jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan warga pendidik, iaitu 370,000 seperti disuarakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Sudah tentu kerajaan atau lebih tepat lagi Kementerian Pelajaran mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menambah jumlah yang lebih banyak buat masa ini. Hakikatnya, ia adalah satu langkah yang baik dan kerajaan sudah tentu tidak dapat memenuhi semua tuntutan NUTP, seperti juga pelbagai permintaan lain dikemukakan oleh badan seperti Cuepacs atau Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) yang sesetengahnya sukar dipenuhi kerajaan, sekurang-kurangnya buat masa sekarang ketika negara berdepan keadaan ekonomi muram. Apapun, ini tidak bermakna kerajaan tidak peka dan pasti kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya apabila tiba masanya nanti seperti tuntutan NUTP yang mahukan elaun sara hidup (Cola) dan elaun guru besar serta pengetua yang diperjuangkannya sejak lebih tiga tahun lalu, dinaikkan. Memang benar pertambahan kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang itu dinikmati sebahagian kecil guru, tetapi kita yakin dari semasa ke semasa, Kementerian Pelajaran akan mempertimbang untuk menambahkan jumlahnya. Untuk layak memohon guru dan pengetua cemerlang ialah mencapai tempoh perkhidmatan sehingga 10 tahun. Namun, kita juga mengalu-alukan persetujuan kerajaan mewujudkan jawatan guru cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah. Semua langkah itu untuk kebaikan dan masa depan pelajar sendiri, bagi memastikan mereka mendapat ilmu berguna daripada guru yang cemerlang.

Tuesday, May 5, 2009

Wajarkah Guru Bekerja Mengikut Waktu Kerja Pejabat ?


Salam Sejahtera..

Alhamdulillah bertemu lagi kita pada hari yang indah ini. Apa khabar rakan-rakan semua. Semoga semuanya dicucuri rahmat dan berbahagia selalu.

Hari ini saya terpanggil untuk membincangkan isu berkenaan wajarkah guru bekerja menggunakan waktu kerja pejabat. Rakan yang saya hormati sekalian, dewasa ini banyak kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikaikan waktu bekerja bagi guru di Malaysia. Hal ini mungkin berlaku kerana ada antara mereka yang merasa iri hati dengan pelbagai keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan terhadap guru-guru di Malaysia. Antara isu yang pernah dibangkitkan oleh mereka ialah berkenaan waktu bekerja. Mereka berpendapat waktu bekerja bagi guru tidak setimpal dengan gaji yang diberikan. Ini kerana kebanyakan guru sekarang yang menggunakan tangga gaji ijazah Gred DG41 memperolehi gaji lebih daripada dua ribu sebulan dan hanya bekerja separuh hari. Sedangkan bagi kakitangan awam yang lain yang menggunakan tangga gaji yang sama terpaksa bekerja 'office hour' iaitu sampai pukul 5 petang. 

Jika difikirkan kembali, ada pro dan kontranya  jika guru bekerja menggunakan waktu pejabat. Kesan positifnya ialah waktu guru bersama pelajar akan meningkat. Pelajar dapat menggunakan waktu ini untuk berbincang masalah pelajarannya dengan guru. Tempoh waktu persekolahan juga akan berubah dari 8 pagi hingga 5 petang. Maka ini dapat mengurangkan masalah gejala sosial apabila pelajar berpeleseran di luar. Kita dapat mencontohi bagaimana negara matahari terbit telah mempraktikkan waktu persekolahan seperti ini.

Namun, terdapat bahagian negatifnya jika langkah berkenaan dilaksanakan. Tempoh waktu berkesan bagi pelajar semakin berkurang. Ini kerana dalam proses pembelajaran, 20 minit yang pertama sahajalah waktu berkesan bagi pelajar untuk menyerap ilmu yang disampaikan. Bayangkanlah jika sesi pembelajaran dipanjangkan sehingga jam 5 petang. Sudah tentulah pelajar akan merasa sangat letih dan tidak dapat menerima lagi apa yang diajar. Kualiti mengajar guru juga akan berkurang. Mereka yang tiada pengalaman mengajar tidak tahu bagaimana penatnya mengajar. Bayangkanlah, kita boleh duduk di meja dan membuat kerja pejabat selama 8 jam, tetapi belum tentu kita mampu berdiri dan bercakap untuk mengajar selama 8 jam.

Oleh itu diharap pelbagai kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya pihak kerajaan ingin juga melaksanakan tempoh waktu bekerja pejabat bagi guru.

Wassalam.

-Guru Cyber-