Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)
Showing posts with label guru. Show all posts
Showing posts with label guru. Show all posts

Sunday, February 28, 2010

DPLI :Permohonan Diploma Pendidikan (DPLI) lepasan ijazah bagi tahun 2010



SYARAT AM UNIVERSITI

Permohonan terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja serta berumur tidak melebihi 35 tahun pada tarikh iklan dikeluarkan.

Syarat Am
  1. Lulus Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dari IPTA tempatan atau yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dengan
    PNGK sekurang - sekurangnya 2.75;
    atau
  2. Kelayakan-kelayakan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan oleh Senat universiti.
    dan
  3. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Setaraf dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia atau kepujian Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia Kertas Julai;
    dan
  4. Lulus mata pelajaran Matematik/Matematik Tambahan di peringkat SPM atau Matematik kertas Julai;
    dan
  5. Lulus Ujian Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI)
  6. Lulus Temu duga dan diperaku oleh panel penemu duga.

Syarat Khas Program

  1. Pemohon perlu memenuhi syarat khas program pengajian seperti yang dinyatakan dalam SYARAT KHAS PROGRAM dalam e-Panduan Permohonan Kemasukan ke IPTA di laman web http://upu.mohe.gov.my
  2. Pemohon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda yang berkaitan dengan bidang pengkhususan yang dipohon akan diberi keutamaan.
  3. Semua program pengajian di UiTM dikhaskan untuk Bumiputera sahaja.

Syarat Tambahan

  1. Pemohon yang telah tamat pengajian dan memiliki ijazah ( skrol ) sahaja yang akan dipertimbangkan.
  2. Sihat tubuh badan, tidak mengidap penyakit mental atau fizikal dan berupaya mengikuti program-program yang dirangka untuk kursus ini.
  3. Pemohon yang memohon bidang pengajian Sains Tulen/ Sains Teknikal atau Matematik hendaklah menguasai Bahasa Inggeris dengan baik dalam aspek lisan dan penulisan.
  4. Sila semak laman web http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainiktiraf.asp untuk memastikan Ijazah yang dimiliki mempunyai pengiktirafan JPA.
  5. Pemohon wajib mencetak MAKLUMAT PERMOHONAN setelah mengemukakan permohonan/ pengemaskinian maklumat dan kemudian menghantar bersama-sama salinan dokumen yang telah disahkan kepada semua IPTA pilihan selewat-lewatnya pada 19 Mac 2010. Salinan dokumen yang perlu disahkan dan dihantar adalah seperti berikut :-
    • Maklumat Permohonan
    • Salinan Kad Pengenalan/MyKad Calon
    • Salinan Sijil Kelahiran Calon
    • Salinan Sijil Kelahiran Ibu dan Bapa (Calon UiTM sahaja)
    • Salinan Sijil Berhenti Sekolah/Surat Akuan
    • Salinan Transkrip Akademik yang lengkap dan telah di sahkan oleh Senat.
    • Salinan sijil SPM

Ujian MEdSI dan Temu duga

  1. Pemohon yang layak untuk mengikuti Program Diploma Pendidikan diwajibkan menduduki ujian MEdSI dan temu duga yang ditetapkan.
  2. Hanya pemohon yang memenuhi Syarat Am serta Syarat Khas program sahaja akan dipanggil untuk menghadiri ujian MEdSI.
  3. Panggilan untuk ujian MEdSI boleh disemak mulai 15.4.2010 melalui laman web http://www.mpm.edu.my.
  4. Panggilan temu duga boleh disemak mulai 11.5.2010 melalui laman web http://upu.mohe.gov.my
  5. Segala perbelanjaan untuk menghadiri ujian dan temu duga adalah di bawah tanggungan pemohon.

Catatan:-

  • Kementerian Pelajaran Malaysia akan menaja yuran pengajian serta elaun bagi pemohon yang layak dan terpilih untuk mengikuti Program Diploma Pendidikan di IPTA.
  • Pemohon yang tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu (1) bulan selepas tarikh pendaftaran di IPTA adalah dianggap tidak berjaya.

JUMLAH PROGRAM
:
Jumlah Keseluruhan Program Pengajian yang ditawarkan ialah 18 program

Bil
IPTA
Kod
Nama Program

1

UPSI

AT03D
PENDIDIKAN JASMANI KESIHATAN

2

UPSI

AT06D
BAHASA INGGERIS

3

UPSI

AT21D
PERDAGANGAN / PERNIAGAAN

4

UPSI

AT32D
SEJARAH

5

UPSI

AT41D
PENDIDIKAN MORAL

6

UPSI

AT45D
PERDAGANGAN & KEUSAHAWANAN

7

UPSI

AT63D
EKONOMI RUMAH TANGGA

8

UiTM

ET03D
PENDIDIKAN JASMANI KESIHATAN

9

UiTM

ET06D
BAHASA INGGERIS

10

UiTM

ET23D
PENDIDIKAN SENI/SENI VISUAL

11

UiTM

ET45D
PERDAGANGAN & KEUSAHAWANAN

12

UMS

HT06D
BAHASA INGGERIS

13

UMS

HT33D
GEOGRAFI

14

UPM

PT06D
BAHASA INGGERIS

15

UPM

PT09D
SAINS PERTANIAN

16

UPM

PT63D
EKONOMI RUMAH TANGGA

17

USM

ST06D
BAHASA INGGERIS

18

UIAM

YT06D
BAHASA INGGERIS

Kod Program Pengajian telah dikemaskini sehingga 21 Februari 2010 : 07:58:56 AM


Monday, February 22, 2010

KPLI News : Pelajar diwajib bersukan 2011



Pembabitan diberi kredit, lahirkan ramai atlit berpotensi: Muhyiddin

BANDAR JENGKA: Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai sekurang-kurangnya satu acara sukan mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembabitan mereka dalam kegiatan sukan itu akan diambil kira, termasuk diberi kredit atau markah.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menerapkan nilai sukan di sekolah, sekali gus mengembalikan kecemerlangan sukan dan melahirkan lebih ramai bakal atlit sukan negara.


"Kita akan menubuhkan satu jawatankuasa sementara bagi memperincikan perkara ini, termasuk pemberian pemarkahan dan kredit kepada pelajar yang cergas dalam sukan.

"Kalau pelajar cergas dan aktif dalam sukan dia ada markah dan kredit... kalau tidak nanti ibu bapa bertanya nak buat apa sukan baik pergi kelas tuisyen sebab nak dapat A (dalam peperiksaan). Jadi sukan tidak penting dan ini bagi saya satu pendekatan yang kurang tepat dan perlu diperbetulkan," katanya pada sidang media selepas menutup rasmi Konvensyen Umno Pahang 2010 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Adnan Yaakob.


Kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan menggariskan lima unsur penting bagi mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah, termasuk mengarahkan Bahagian Seni, Kokurikulum dan Sukan di kementeriannya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain.

Katanya, kurikulum berhubung sukan juga perlu dikaji semula bagi menyesuaikan waktu dilaksanakan supaya tidak menjejaskan pembangunan akademik pelajar, menambah bilangan guru terlatih dalam bidang sukan serta memperbanyakkan kemudahan infrastruktur sukan di sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak semata-mata diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

"Aktiviti sukan sebelum ini kurang diberi perhatian sewajarnya sedangkan untuk membangunkan atlit kebangsaan bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah sampai universiti dan biasanya kemudian barulah kita ambil bakal atlit negara," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta kementerian mendapatkan pandangan pakar Majlis Sukan Negara (MSN), bekas jurulatih atau atlit kebangsaan dan guru sukan bagi merombak semula kurikulum sukan sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata pengetahuan dan kepakaran golongan ini dalam bidang kesukanan perlu diambil kira jika kementerian serius hendak mengembalikan kegemilangan sukan di peringkat sekolah.

"Kementerian perlu panggil golongan ini kerana mereka adalah kumpulan pakar yang sesuai untuk merangka dan merombak semula kurikulum sukan sekolah kerana mereka mempunyai ilmu, pengetahuan serta pengalaman dalam bidang kesukanan," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20100221231417/Article/

Saturday, May 30, 2009

Cuti Persekolahan Pertengahan Tahun 2009




Selamat bercuti diucapkan kepada rakan guru sekalian. Mulai hari ini 30 Mei 2009 sehingga 14 Jun 2009 sekolah akan bercuti selama dua minggu. Maka guru-guru di sekolah berkenaan juga akan bercuti.

Mungkin ramai yang telah membuat perancangan untuk cuti sekolah ini. Tidak kurang juga yang masih mencongak-congak apa yang hendak dilakukan sepanjang cuti sekolah ini. Apapun yang dirancang, saya doakan semoga segalanya berjalan lancar dan diberkatiNya. Bagi rakan guru tu jangan lupa siapkan menanda kertas peperiksaan dahulu. Barulah boleh berjalan dengan hati yang senang.

Saya juga banyak menerima undangan ke majlis perkahwinan sepanjang cuti sekolah ini. Selamat penganti baru saya ucapkan dan semoga kekal bahagia ke akhir usia. Sesiapa yang bagi kad undangan tu Insya Allah saya akan datang. Bagi yang tak bagi kad tu susah sikitlah sebab saya tak tahu jalan ke rumah pengantin tersebut. Apapun saya doakan majlis tersebut meriah.

Selamat Bercuti

-Guru Cyber-

Tuesday, May 26, 2009

Review : Soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun




Salam Sejahtera.

Minggu ini merupakan minggu terakhir persekolahan sebelum semua sekolah seluruh negara akan mula cuti penggal persekolahan pada 30 Mei ini. Cuti penggal selama dua minggu ini membolehkan ramai para guru untuk berehat dan pulang ke kampung halaman masing-masing. Minggu terakhir ini juga merupakan minggu peperiksaan pertengahan tahun bagi semua sekolah di Malaysia.

Kebiasaannya peperiksaan pertengahan tahun akan bermula beberapa minggu sebelum cuti penggal. Bagi tingkatan 4 dan 5, peperiksaannya akan bermula dua minggu lebih awal kerana jumlah subjek yang banyak. Bagi menengah rendah (tingkatan 1, 2 dan 3), peperiksaan pertengahan tahun akan bermula di minggu akhir sebelum pelajar bercuti.

Soalan peperiksaan pertengahan tahun ini pula selaras dan datang dari Kementerian Pendidikan Negeri. Sekolah akan menerima bungkusan soalan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) beberapa hari sebelum peperiksaan dijalankan. Berbeza dengan ujian bulanan, guru sekolah akan menyediakan soalan sendiri kepada pelajarnya. Ini bermakna soalan peperiksaan pertengahan tahun ini lebih berprestij kerana soalannya yang selaras di dalam negeri dan keputusan peperiksaan tersebut sah untuk dibanding-bandingkan dengan sekolah lain.

Kualiti percetakan dan kualiti kertas soalan ini juga agak baik. Muka hadapan kertas soalan menampakkan kualiti kertas soalan tersebut setaraf dengan kertas soalan peperiksaan besar. Ini sejajar dengan usaha kerajaan yang mahukan taraf peperiksaan di Malaysia setaraf dengan negara maju yang lain.

Walau sehebat mana soalan peperiksaan ini, namun ianya tiada makna sekiranya taraf pelajar kita masih ditakuk lama. Oleh itu marilah kita berganding mahu menaiktarafkan kualiti pelajar kita setaraf kualiti soalan peperiksaan tersebut. Bak kata peribahasa 'bagaimana acuan begitulah kuihnya'.

-Guru Cyber-

Friday, May 22, 2009

KPLI Update : KPLI vs KDC




Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung setia yang tidak jemu-jemu mengunjungi blog kpli2u ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa lama saya tidak menulis sendiri di sini. Untuk pengetahuan semua, baru-baru ini saya tidak berapa sihat dan sehingga sekarang pun masih belum pulih sepenuhnya. Namun saya gagahkan jua untuk menulis kali ini ikhlas demi pengunjung yang saya hargai sekalian. Jangan risau bukan demam H1N1 lagi.

Hari saya ingin membincangkan perbezaan antara KPLI vs KDC. Mungkin anda semua tahu apa itu KPLI. KPLI seperti yang kita semua sedia maklum adalah Kursus Perguruan Lepasan IjazahPemohon yang layak memohon mestilah bertaraf warganegara Malaysia, berumur tidak melebihi 35 tahun, memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA)/ institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan atau luar negara dan diiktiraf oleh kerajaan. Selain itu pemohon juga mestilah memiliki Kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V) dan lulus ujian lisan di dalam satu sijil atau lulus kertas khas Bahasa Melayu di peringkat universiti / IPTA tempatan yang diiktiraf. Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM boleh menggantikan kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V) dengan syarat lulus ujian lisan. Bagi calon Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah j-QAF hendaklah memiliki ijazah sama ada dalam bidang Pengajian Islam atau Pengajian Bahasa Arab atau bidang yang berkaitan. Calon yang memenuhi syarat permohonan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah diwajibkan menduduki Ujian Pemilihan Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test – MTeST) dan temu duga yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Keutamaan akan diberi kepada calon yang mempunyai ijazah yang tepat dan bersesuaian dengan bidang yang dipohon. Calon yang berjaya ditawarkan kursus akan menerima surat tawaran rasmi semasa melapor diri di Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan. Calon yang ditawarkan tempat berkursus dan setelah tamat pengajian adalah tertakluk kepada ikatan Perjanjian Pendidikan Guru dimana calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan syarat kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah atau institusi pendidikan seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan setelah tamat berkursus. Bagi calon yang tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu (1) bulan selepas tarikh pendaftaran di institut pendidikan guru adalah dianggap tidak berjaya. Bahagian ini tidak akan mengeluarkan maklumat secara bersurat kepada calon. Kelemahan KPLI ini ialah guru yang tamat berkursus berkemungkinan untuk dihantar ke serata ceruk Malaysia bergantung kepada keperluan sekolah.

Hal ini berlainan pula dengan KDC. KDC bermaksud Kursus Dalam Cuti. Lazimnya KDC diberikan kepada guru sekolah rendah yang hendak dinaiktarafkan kepada ijazah. Selain itu KDC juga diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk diserap menjadi guru tetap. Permohonan KDC ini bergantung kepada sokongan Pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah berkenaan. Calon yang ditawarkan KDC ini akan berkhidmat seperti biasa di sekolahnya bertugas. Cuma calon ini akan pergi belajar di Maktab Perguruan semasa cuti sekolah. Tempoh belajar bagi calon KDC ini adalah satu tahun. Kelebihan KDC ini ialah guru berkenaan tetap berkhidmat di sekolah yang sama dan tidak akan ditukarkan ke sekolah lain bagi tempoh 3 tahun. Gaji guru KDC juga akan berjalan penuh seperti biasa sepanjang tempoh kursusnya.

Oleh itu tidak kisahlah yang mana satu sekalipun kursus yang dipilih. Kedua-duanya menuju ke arah profession perguruan yang mulia ini. Marilah kita bersama-sama memartabatkan bidang perguruan ini bak kata pepatah 'Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.

Wassalam.

-Guru Cyber-

Thursday, May 21, 2009

KPLI Update : Perlukah KPLI Diteruskan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

PEPATAH guru ibarat sebatang lilin yang sanggup membakar diri bagi menerangi orang lain nampaknya semakin menjadi tidak relevan lagi hari ini.

Kebelakangan ini, pelbagai isu yang berkisar dalam dunia perguruan semakin menghakis tanggapan mulia terhadap kerjaya yang satu ketika dulu terlalu tinggi darjatnya.

Guru dalam nilai kerjayanya hari ini tidak banyak bezanya seperti kerjaya-kerjaya komersial lain yang di penghujung usahanya adalah ganjaran dalam bentuk gaji bulanan.

Bayangan seperti ini semakin ketara rentetan daripada keluhan demi keluhan guru mengenai tanggungjawab mereka yang dikatakan semakin membebankan.

Antara puncanya, seperti yang dijelaskan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini, kerana sebahagian besar peranan ibu bapa telah diserahkan kepada guru.

Banyak lagi perkara-perkara remeh lain yang dikaitkan dalam kerjaya perguruan sehingga menyumbang kepada beban tugasan yang tidak lagi boleh ditanggung oleh seorang guru.

Sukar untuk menelah bagaimana peranan sebenar yang dimainkan oleh guru ketika ini.

Adakah hayunan langkah guru ke sekolah setiap pagi atau tengah hari hanya dengan perasaan untuk menunaikan tuntutan kerjaya semata-mata, sama seperti seorang buruh binaan yang perlu menyudahkan sebuah bangunan di tapak projek pembinaan?

Atau terdetikkah di hati seorang guru bahawa rutin harian mereka sepanjang waktu persekolahan adalah satu misi kemanusiaan yang sangat besar amanahnya dalam melahirkan seorang insan yang tidak hanya tinggi pemikiran tetapi juga mulia akhlak dan keperibadian?

Tidak dinafikan, tumpuan yang terlalu tinggi sesetengah sekolah dalam mencapai peratusan kecemerlangan dalam peperiksaan utama sedikit sebanyak menyebabkan peranan sebenar guru tersasar daripada landasannya.

Dalam mengejar peratusan itu, guru pastinya dikerah untuk lebih memberikan perhatian terhadap aspek kecemerlangan akademik dengan harapan pelajar mereka mampu mengutip sebanyak mungkin gred A dalam peperiksaan tersebut.

Tanpa disedari, situasi ini menyebabkan aspek lain dalam pembentukan seorang pelajar yang cemerlang seperti akhlak dan peribadi yang mulia sedikit terabai.

Memang ada aktiviti sekolah yang menjurus ke arah pembentukan akhlak dan rohani seorang pelajar yang syumul, tetapi keberkesanannya boleh saja dipersoal melihat kebejatan sosial pelajar-pelajar yang sangat membimbangkan.

Pastinya tidak adil jika keruntuhan moral di kalangan generasi muda ini diletakkan di bahu guru semata-mata.

Namun, sebagai individu yang paling dekat dengan pelajar-pelajar selepas ahli keluarga, peranan guru dalam mencorak akhlak dan keperibadian generasi muda adalah sesuatu yang tidak boleh disangkalkan.

Andai kata pelajar-pelajar ini menghadapi masalah dalam hubungan kekeluargaan mereka di rumah, siapakah lagi yang paling layak untuk mereka mengharapkan pertolongan dan perhatian?

Tanggungjawab seperti ini tidak begitu ketara dalam perhubungan guru dan pelajar dalam persekitaran sekolah hari ini.

Pendekatan guru dalam menangani perkara sebegini kebiasaannya lebih kepada hukuman fizikal seperti rotan atau gantung sekolah yang secara psikologinya mewujudkan sikap penentangan yang semakin dahsyat.

Lalu, pengajaran yang diharapkan diterima oleh pelajar-pelajar bermasalah daripada hukuman fizikal sebegini bertukar menjadi satu titik yang semakin melonjakkan sikap negatif pelajar berkenaan.

Apa yang diperlukan oleh pelajar bermasalah adalah pengajaran dalam bentuk teladan yang secara terus menyerap ke dalam jiwa dan fikiran mereka.

Teladan seperti inilah yang perlu ada dan dicontohi daripada seorang guru dan tuntutan itu tidak hanya ketika mereka bergelar seorang ‘guru’ sebaliknya dalam keseluruhan hidup mereka.

Sukar untuk tidak mengaitkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang semakin popular hari ini dalam permasalahan nilai-nilai seorang guru seperti yang berlaku memandangkan kebanyakan guru yang dilahirkan daripada kursus ini rata-ratanya siswazah muda.

Lebih parah apabila KPLI dijadikan jalan keluar oleh siswazah dalam desakan mencari pekerjaan sekali gus tidak membayangkan keinginan dan hasrat sebenar mereka sebagai seorang pendidik.

Uniknya mengenai KPLI ini, seorang guru boleh dilahirkan dalam tempoh pengajian kira-kira setahun dengan bidang serta pengkhususan mengenai pendidikan yang semestinya dipendekkan.

Justeru terlalu mudah untuk melihat kelemahan pelaksanaan KPLI dalam melahirkan seorang guru yang sebenar jika dibandingkan dengan guru yang dilahirkan daripada maktab perguruan sedikit masa dahulu.

Benar siswazah ini sudah mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang, tapi kriteria itu sahaja tidak memadai untuk melayakkan mereka bergelar seorang guru yang baik.

Mungkin sudah tiba masanya pelaksanaan KPLI ini dikaji semula apatah lagi ketika beberapa laporan bahawa terdapat pelajar pengajian pendidikan tidak mendapat tempat mengajar kerana perlu bersaing dengan guru lepasan KPLI ini.

Sedangkan tujuan utama pelaksanaan KPLI sebelum ini adalah untuk menampung kekurangan guru lepasan pengajian pendidikan namun situasi yang berlaku kini menjadi sebaliknya.

Pengkhususan pengajian KPLI juga barangkali perlu disemak semula dengan memberi lebih penekanan kepada usaha dan pendekatan seorang guru dalam membina jati diri dan membentuk rohani pelajar yang syumul dan bukannya bijak dalam peperiksaan semata-mata.

Sejak sekian lama, guru sangat berbangga apabila jasa dan pengorbanan mereka diagungkan kerana melahirkan seorang Perdana Menteri, doktor, peguam, jurutera dan banyak lagi.

Pastinya kita tidak mahu satu hari nanti kebanggaan ini dicemari apabila jasa seorang guru dikaitkan dengan gejala mat rempit, bohsia, penagih dadah dan sampah masyarakat lainnya.


link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0124&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

Minda Pengarang : Kerajaan Sentiasa Berusaha Tingkat Taraf Perguruan


PROFESION perguruan kini diberi pengiktirafan kerajaan menerusi Skim Gred Khas C dan Pengetua Jusa C serta gred lain yang membolehkan ramai guru menikmati gaji lebih tinggi berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Latihan diterima juga semakin baik dan kini hampir semua guru sekolah menengah dan lebih 50 peratus di sekolah rendah mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, berbanding sebelum ini dengan kelayakan mereka sekadar diploma atau sijil perguruan. Dengan itu, guru lebih berpengetahuan mendidik pelajar. Ramai juga di antara mereka kini mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah. Kita bangga kerana guru di Malaysia mempunyai kelayakan akademik tinggi berbanding rakan mereka di negara membangun lain seperti India, Pakistan, Thailand, Indonesia dan China. Sememangnya, dari segi kelayakan, guru kita cukup berkelayakan. Sebagai menghargai dan memberi penghormatan kepada guru, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan sudah meluluskan pertambahan 2,141 kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah menengah di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta. Dengan itu, kerajaan berharap insentif berkenaan mendorong mereka mengamalkan budaya kerja lebih cemerlang. Dengan penambahan kuota itu, perjawatan untuk guru dan pengetua cemerlang meningkat daripada 5,984 sebelumnya kepada 8,125 sekarang. 

Bagaimanapun, mungkin sesetengah pihak masih tidak berpuas hati dengan pertambahan itu jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan warga pendidik, iaitu 370,000 seperti disuarakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Sudah tentu kerajaan atau lebih tepat lagi Kementerian Pelajaran mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menambah jumlah yang lebih banyak buat masa ini. Hakikatnya, ia adalah satu langkah yang baik dan kerajaan sudah tentu tidak dapat memenuhi semua tuntutan NUTP, seperti juga pelbagai permintaan lain dikemukakan oleh badan seperti Cuepacs atau Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) yang sesetengahnya sukar dipenuhi kerajaan, sekurang-kurangnya buat masa sekarang ketika negara berdepan keadaan ekonomi muram. Apapun, ini tidak bermakna kerajaan tidak peka dan pasti kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya apabila tiba masanya nanti seperti tuntutan NUTP yang mahukan elaun sara hidup (Cola) dan elaun guru besar serta pengetua yang diperjuangkannya sejak lebih tiga tahun lalu, dinaikkan. Memang benar pertambahan kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang itu dinikmati sebahagian kecil guru, tetapi kita yakin dari semasa ke semasa, Kementerian Pelajaran akan mempertimbang untuk menambahkan jumlahnya. Untuk layak memohon guru dan pengetua cemerlang ialah mencapai tempoh perkhidmatan sehingga 10 tahun. Namun, kita juga mengalu-alukan persetujuan kerajaan mewujudkan jawatan guru cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah. Semua langkah itu untuk kebaikan dan masa depan pelajar sendiri, bagi memastikan mereka mendapat ilmu berguna daripada guru yang cemerlang.

Wednesday, May 20, 2009

Lagu Guru Malaysia



Saban tahun guru-guru akan mendendangkan lagu ini
semasa sambutan hari guru. Hayatilah maksudnya.

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan 
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan 
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

Lagu dan Vokal :: Video Klip