Alhamdulillah bertemu lagi kita pada hari yang indah ini. Apa khabar rakan-rakan semua. Semoga semuanya dicucuri rahmat dan berbahagia selalu.
Hari ini saya terpanggil untuk membincangkan isu berkenaan wajarkah guru bekerja menggunakan waktu kerja pejabat. Rakan yang saya hormati sekalian, dewasa ini banyak kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikaikan waktu bekerja bagi guru di Malaysia. Hal ini mungkin berlaku kerana ada antara mereka yang merasa iri hati dengan pelbagai keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan terhadap guru-guru di Malaysia. Antara isu yang pernah dibangkitkan oleh mereka ialah berkenaan waktu bekerja. Mereka berpendapat waktu bekerja bagi guru tidak setimpal dengan gaji yang diberikan. Ini kerana kebanyakan guru sekarang yang menggunakan tangga gaji ijazah Gred DG41 memperolehi gaji lebih daripada dua ribu sebulan dan hanya bekerja separuh hari. Sedangkan bagi kakitangan awam yang lain yang menggunakan tangga gaji yang sama terpaksa bekerja 'office hour' iaitu sampai pukul 5 petang.
Jika difikirkan kembali, ada pro dan kontranya jika guru bekerja menggunakan waktu pejabat. Kesan positifnya ialah waktu guru bersama pelajar akan meningkat. Pelajar dapat menggunakan waktu ini untuk berbincang masalah pelajarannya dengan guru. Tempoh waktu persekolahan juga akan berubah dari 8 pagi hingga 5 petang. Maka ini dapat mengurangkan masalah gejala sosial apabila pelajar berpeleseran di luar. Kita dapat mencontohi bagaimana negara matahari terbit telah mempraktikkan waktu persekolahan seperti ini.
Namun, terdapat bahagian negatifnya jika langkah berkenaan dilaksanakan. Tempoh waktu berkesan bagi pelajar semakin berkurang. Ini kerana dalam proses pembelajaran, 20 minit yang pertama sahajalah waktu berkesan bagi pelajar untuk menyerap ilmu yang disampaikan. Bayangkanlah jika sesi pembelajaran dipanjangkan sehingga jam 5 petang. Sudah tentulah pelajar akan merasa sangat letih dan tidak dapat menerima lagi apa yang diajar. Kualiti mengajar guru juga akan berkurang. Mereka yang tiada pengalaman mengajar tidak tahu bagaimana penatnya mengajar. Bayangkanlah, kita boleh duduk di meja dan membuat kerja pejabat selama 8 jam, tetapi belum tentu kita mampu berdiri dan bercakap untuk mengajar selama 8 jam.
Oleh itu diharap pelbagai kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya pihak kerajaan ingin juga melaksanakan tempoh waktu bekerja pejabat bagi guru.
Wassalam.
-Guru Cyber-