Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)

Wednesday, April 29, 2009

Hayati dan Selami Ucapan Menteri Pendidikan

Tarikh 16 Mei menjelang lagi. Tarikh yang sentiasa diingati oleh seluruh warga yang terlibat dengan bidang pendidikan khususnya sekolah. Daripada pelajar, guru, pengetua, guru besar malahan ibu bapa pelajar sendiri, tarikh tersebut begitu bermakna bagi kita untuk mengenang jasa yang dicurahkan oleh warga pendidik yang dipanggil GURU. Ya! Hari Guru adalah hari untuk kita mengingati jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh insan yang bergelar guru.


Merenung sejenak peranan guru pada masa sekarang...

Sememangnya tugas yang dipikul oleh guru sekarang adalah terlalu mencabar. Cabaran yang perlu ditanggung dengan kekuatan mental dan fizikal demi melaksanakan tugas dan tangungjawab yang diamanahkan. Guru sekarang bukan sekadar hanya masuk ke kelas dan mengajar semata-mata tetapi banyak lagi dugaan dan tugas lain perlu dibereskan. Sekolah ibarat sebuah 'negara' yang melaksanakan pelbagai aktiviti yang semuanya terpaksa dipikul pada bahu guru. Dan aktiviti-aktiviti sebegini menyebabkan guru bukan sekadar menjadi guru semata-mata. Seorang guru pernah berkata, guru perlu menjadi kerani menyiapkan hal-hal kedatangan murid dan hal-hal berkaitan dengan pembayaran yuran. Guru perlu menjadi polis untuk mengajar anak-anak murid berkawad dalam aktiviti ko-kurikulum. Guru perlu menjadi pengaturcara komputer untuk membuat bahan bantuan mengajar menggunakan komputer. Pendek kata, menjadi guru ialah menjadi semua pekerja dan membuat segala pekerjaan, dan itulah sebenarnya situasi yang dialami oleh guru pada hari ini.

Amanat Menteri (baca ucapan penuh Menteri)

Memetik ucapan oleh Menteri Pelajaran DATO' SRI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN dalam Amanat Pelaksanaan RMK9, beliau menjelaskan KPM telah menerima peruntukan yang besar, menduduki tempat kedua tertinggi mengikut Kementerian selepas Jabatan Perdana Menteri, dengan siling sebanyak RM23.198 bilion atau 10.5 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan Rancangan Malaysia ke-9 dan KPM telahpun merancang hala tuju, dasar dan fokus pembangunan pendidikan bagi RMKe-9 sejak dua tahun yang lepas dengan mengambilkira wawasan, matlamat, dasar dan perancangan negara. 
 

Perancangan pembangunan pendidikan KPM akan dirangka untuk memenuhi tiga matlamat utama, iaitu pertama, membentuk ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang dicita-citakan di dalam negara maju Malaysia tahun 2020; kedua, menyediakan akses, ekuiti dan pendidikan berkualiti untuk semua golongan agar pada tahun 2020 kelak, tiada sebarang pihak yang tercicir dari arus kemajuan negara; dan ketiga, terarah untuk memastikan pembangunan yang mampan agar kemajuan yang dicapai oleh negara dan bangsa dapat terus dipertahankan.

Bagi memastikan matlamat perancangan pembangunan pendidikan ini tercapai, Menteri berharap para guru dapat memberikan tumpuan kepada enam agenda utama, iaitu;

i. Pertama, membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia.
ii. Kedua, memperkasakan sekolah kebangsaan.
iii. Ketiga, merapatka
n jurang pendidikan.
iv. Keempat, memartabat profesion perguruan.
v. Kelima, meningkatkan pengurusan pendidikan.
vi. Keenam, memperkasa bahasa kebangsaan.

"Dari aspek pembangunan fizikal, dalam tempoh lima tahun ini, setidak-tidaknya kita mesti berusaha untuk memastikan sekolah-sekolah mempunyai infrastruktur asas dan tidak beroperasi dalam keadaan daif serta merbahaya. Kita juga akan membestarikan kesemua sekolah di seluruh negara. Sebanyak RM2.1 bilion diperuntukkan untuk tujuan ini. Sebenarnya proses pembestarian telah pun mengambil tempat di sekolah-sekolah kita. Sebahagian besar sekolah kita telah dilengkapi dengan komputer meja, notebook dan pelbagai judul perisian-perisian kursus. 96 peratus atau 9,200 buah sekolah kita juga telah dirangkaikan dengan akses internet jalur lebar. Manakala sekitar 200,000 guru kita juga pernah dilatih untuk menggunakan perkakasan dan perisian ini." kata beliau lagi.

Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

Tema Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan untuk sambutan perayaan Hari Guru tahun ini adalah bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh Menteri Pelajaran kita dalam amanat beliau. Jika dilihat projek-projek yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam proses pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, memanglah ia satu bukti yang jelas tentang hasrat Kerajaan untuk mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan merapatkan jurang pendidikan di kalangan pelajar luar bandar dan bandar. 
 

Dari perspektif teknologi, konsep pendidikan bestari ini telahpun dimulai semenjak program Sekolah Bestari diperkenalkan dan dilanjutkan lagi dengan projek SchoolNet. Banyak sekolah kini telah mempunyai makmal komputer yang dilengkapi dengan sambungan Internet berteknogi tinggi dan jalur lebar sama ada menggunakan teknolgi ADSL, VSAT ataupun wireles untuk mendedahkan pelajar kepada pengetahuan ilmu yang tidak terbatas secara konvesional sahaja. Ia secara tidak langsungnya membuka mata terutamanya pelajar-pelajar yang berada di kawasan pedalaman untuk memanfaatkan teknologi selaras dengan perubahan zaman di samping menimba pengetahuan dan pengalaman tentang teknologi itu sendiri.

Masa untuk berubah

Namun, di sebalik hasrat Kerajaan itu juga, ada sebahagian pentadbir sekolah yang kadang-kadang berfikiran sempit dengan 'mengunci' segala peralatan yang disalurkan itu di bilik masing-masing dengan alasan takut peralatan tersebut rosak. Situasi ini bukan sahaja merugikan pelajar-pelajar dan guru yang sepatutnya memanfaatkan teknologi itu, tetapi merugikan pihak Kerajaan yang telah membelanjakan jutaan ringgit bagi menyalurkan kemudahan itu. Ada juga sebahagian guru yang menyalahgunakan teknologi yang disalurkan dengan mengunjungi laman-laman web yang tidak sepatutnya dikunjungi dan ada juga kalangan guru yang tidak tahu langsung dan tidak mahu menggunakan teknologi yang disediakan. Malah, ada yang lebih teruk, menggunakan alasan teknologi yang dibekalkan itu sebagai satu masalah kepada sekolah untuk memikirkan kos yang perlu ditanggung oleh pihak sekolah bagi menjaga peralatan tersebut serta masalah menghadiri kursus-kursus IT yang dilaksanakan. Ini adalah realiti yang kita perlu sedar serta inilah sebenarnya cabaran yang perlu dihadapi dalam mewujudkan pendidikan bestari. 
 

Sedar atau tidak, masa terus merubah meninggalkan zaman yang kita lalui dulu. Dan, sama ada kita suka atau tidak juga, kita perlu mengikut arus zaman yang sentiasa kedepan jika tidak mahu dilabelkan sebagai ketinggalan. Tinggalkanlah keegoan kita sebentar untuk kebaikan semua pihak

p/s Cuba dapatkan teks penuh ucapan Menteri, anda akan mendapat gambaran kasar tentang soalan-soalan yang akan ditanya ketika temuduga kelak..terus ke laman web emoe dan dapatkan dalam bentuk pdf 
 

Print dan ambil satu higlighter, cari keywords dan cuba kembangkan lagi teks-teks ini, masukkan dan gabungkan dengan isi-isi yang kami berikan di sini


Links:

1) http://ekpli.com/

2) http://tips-kpli.blogdrive.com/

3) http://www.moe.gov.my

4) http://apps.emoe.gov.my/kpli/semakduga/

No comments:

Post a Comment