Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)

Saturday, June 27, 2009

KPLI News : Makmal komputer sekolah akan jadi makmal bahasa



KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan akan menaik taraf fungsi makmal komputer sekolah di seluruh negara untuk dijadikan sebagai makmal bahasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut selaras dengan peranan teknologi yang kini banyak dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

"Sehubungan itu, perisian dan peralatan yang sesuai akan dibekalkan kepada semua sekolah bagi melaksanakan rancangan ini," katanya ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan amat komited untuk menjayakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), justeru Kementerian Pelajaran bersikap terbuka untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak bertujuan menambah baik dasar sedia ada.

Berikutan itu jelasnya, kementerian sedang mengkaji memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris serta menekankan nahu bahasa Inggeris bagi meningkatkan mutu penulisan dan pengucapannya dalam kalangan murid.

Katanya di samping itu, masa pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris juga akan ditambah bagi meningkatkan kandungan pengajaran.

"Oleh itu tahap kompetensi guru bahasa Inggeris akan dipertingkatkan malah lebih ramai guru bahasa Inggeris yang berkelayakan bakal diambil untuk mengajar terutama di sekolah luar bandar," jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan juga sedang menimbang untuk menggunakan khidmat guru bahasa Inggeris yang berkelayakan dari luar negara untuk menampung keperluan guru bahasa Inggeris di negara ini.

"Langkah itu akan membantu kerajaan membimbing para guru mencapai matlamat dasar PPSMI selain meningkatkan keupayaan mereka mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0624&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_05.htm&arc=hive


1 comment: