Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)

Wednesday, April 29, 2009

Wajarkah guru dipaksa ke pedalaman?


Sokong


SAYA amat bersetuju dengan Kementerian Pelajaran yang akhirnya telah bertegas dalam soal guru ke pedalaman ini. Seperti yang kita semua maklum, masalah ‘banyak songeh’ yang berlaku dalam dunia perguruan amat ketara dan salah satu ialah keengganan mereka berkhidmat di luar bandar kerana bermacam-macam alasan.

Kita semua tahu dunia di luar bandar tidak seseronok di bandar terutamanya bagi muda-mudi yang kononnya bercita-cita menjadi pendidik anak bangsa.

Kita semua sudah sedia maklum bahawa guru adalah orang yang paling mulia dalam masyarakat kerana merekalah lilin yang rela membakar diri untuk anak bangsa.

Jadi di manakah semangat lilin yang selalu digembar-gemburkan itu?

Adakah anak bangsa di luar bandar tidak perlu diajar oleh guru-guru? Habis siapa yang perlu mendidik mereka? Tok Batin? Penghulu? Tauke balak? Kalau kita menunggu sukarelawan untuk berkhidmat, saya rasa belum tentu ada yang mahu tampil, maka wajarlah paksaan dikenakan terhadap guru-guru ini.

Tak kenal maka tak cinta. Mungkin setelah mereka berada di sana, barulah mereka insaf dan sedar bahawa betapa besarnya pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk anak bangsa.

Mungkin juga semangat dan keazaman mereka lebih tinggi daripada mana-mana guru di Malaysia ini.

Saya amat menghormati guru yang benar-benar menjadi lilin untuk masyarakat walau di mana mereka berada.

– ANAK MURIDMU,

Bandar Jengka,

Pahang.


Bantah


SAYA merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar mengenai penempatan guru di pedalaman.

Pada pendapat saya, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Kementerian Pelajaran seharusnya mencari alternatif yang lebih baik dan sesuai dengan keadaan semasa demi masa depan anak bangsa.

Beliau perlu memikirkan implikasi yang akan timbul dengan arahan yang dibuat, antaranya:

Keadaan rumah tangga yang tidak terurus disebabkan perpisahan suami, isteri dan anakanak.

Boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga disebabkan suami isteri yang berjauhan (misalnya perceraian disebabkan suami bercinta lagi, isteri curang atau gangguan pihak ketiga disebabkan tinggal berjauhan dan sukar untuk berhubung dan jarang bertemu).

Anak-anak akan terabai dan terbiar yang seterusnya mengakibatkan kesan yang lebih buruk (misalnya mat rempit, bohsia, penagih dadah atau bermacam gejala sosial lagi yang mungkin timbul kerana tiada pengawasan daripada ibu dan bapa yang sibuk mendidik anakanak orang lain).

Saya hanya memberi dua contoh tetapi bagi saya amat menakutkan di zaman yang serba mencabar ini.

Saya juga ingin mencadangkan:

Guru-guru muda yang baru keluar dari KPLI atau maktab perguruan yang kebanyakannya adalah bujang disyaratkan mengajar di pedalaman sekurang-kurangnya setahun.

Ambil calon guru dari daerah yang kekurangan guru dan mereka ini bolehlah ditempatkan di kawasan mereka apabila telah tamat kursus perguruan (sekurang-kurangnya sama negeri jika sukar untuk mendapatkan dari daerah yang sama).

Saya berharap Yang Berhormat akan berfikir atau mengerahkan orangnya berfikir secara mendalam sebelum mengeluarkan sesuatu arahan atau kenyataan.

– MOHD. SAYUTHI MAT ZIN,

Kuala Lumpur.

1 comment:

  1. Salam,

    Dahulu saya agak sokong kerana guru sedia maklum dengan cabaran yang mungkin dihadapinya ketika membuat permohonan. Saya yang memohon juga tidak ambil kisah seceruk mana sekalipun saya ditempatkan pada ketika itu. Pada hemat saya, feel untuk berseronok gaya bandar sudah tiada, dan itu memang benar. Saya juga telah memohon untuk menjalani praktikum di sekolah orang asli sekitar Gerik. Tiada masalah di situ.

    Namun setelah mendirikan rumah tangga setamatnya kursus, saya memikirkan masa depan dalam perspektif yang langsung berbeza. Saya sudah punya tanggungjawab agama terhadap isteri, dan bakal anak insyaallah. Saya perlu memastikan keluarga saya berada dalam keadaan yang selesa, dan sukar dilakukan sekiranya berjauhan, apatah lagi setahun sekali sahaja mungkin bertemu. Bagaimana isteri bakal membesarkan anak berseorangan. Jika saya berjaya keluar dari kawasan pendalaman setelah 3-5 tahun, berapa banyak perkembangan anak yang bakal saya lepas pandang?

    Kebetulan pula, setamatnya kursus bapa saya pula jatuh sakit. Hanya tinggal ibu yang kudrat tidak sekuat mana untuk menguruskan bapa dan rumah. Selaku anak lelaki sulung, hal ini menjadi satu dilema berat. Adalah tidak wajar sekiranya pemimpin mengeluarkan kenyataan "semua orang akan sakit, kalau kita jaga pun mereka masih sakit". Dilekatkan pula di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian keratan akhbar tersebut supaya guru patah hati. Apakah ini yang hendak dasar pendidikan terapkan kepada bakal pemimpin masa depan, iaitu mengabaikan ibu dan ayah demi kerjaya?

    Janji yang saya tandatangani kepada kerajaan juga masih perlu dipenuhi. Saya berharap pihak berwajib memandang perkara ini dengan lebih baik bagi kebaikan bersama. Saya pun tahu mereka memang pening menguruskan permohonan pertukaran sekolah dari hari ke hari. Tapi sekiranya ia ditangani dari awal secara efisien, bebanan kerja mereka pada masa depan sebenarnya mampu dikurangkan.

    ReplyDelete