Nuffnang Ads

Perhatian Kepada Pengunjung yang Budiman

Sila berikan komen di bahagian bawah artikel. TQ

(comtech2u@gmail.com)

Monday, June 22, 2009

KPLI Review : Keputusan Temuduga dan Tawaran KPLI


Salam Sejahtera,

Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dalam temuduga KPLI baru-baru ini. Sudah pastinya mereka sudah mendapat tahu di mana tempat mereka akan melalui kursus tersebut. Walau di mana sekalipun anda di hantar, saya doakan anda berjaya menyerap seberapa banyak ilmu tentang bidang perguruan ini. Buktikan kepada negara bahawa guru lepasan KPLI ini setanding dengan guru lepasan maktab malahan lebih baik lagi. Hal ini kerana baru-baru ini terdapat banyak sungutan masyarakat terhadap guru lepasan KPLI ini. Sekiranya ada apa-apa yang hendak dikongsikan bersama semasa berkursus tersebut, janganlah segan silu untuk menghantar email kepada blog kpli2u ini. Semoga ilmu tersebut memberi manfaat kepada rakan kita yang masih berusaha untuk mendapat tempat mengikuti KPLI tersebut.

Kepada mereka yang tidak berjaya, jangan susah hati. Mungkin belum sampai rezeki lagi. Lagipun saya ada terdengar khabar angin mengatakan borang pengambilan KPLI akan keluar pada 17hb Julai depan. Mengenai DPLI pula saya masih tidak pasti, tetapi rasanya dalam bulan Julai juga. Oleh itu sama-samalah kita tunggu akan kebenaran khabar angin tersebut. Sekiranya rakan sekalian ada apa-apa informasi terkini, silalah kongsikannya di blog kpli2u ini.

Akhir kata selamat berkursus saya ucapkan kepada yang berjaya mendapat tawaran KPLI baru-baru ini. Semoga anda berjaya dan berbakti kepada agama, nusa dan bangsa suatu hari nanti.

Wassalam

-Guru Cyber-

Saturday, June 20, 2009

KPLI News : Bilangan guru lelaki, wanita diseimbangkan



PONTIAN 7 Jun - Kementerian Pelajaran akan memberi perhatian khusus dalam usaha menyeimbangkan jumlah guru lelaki dan wanita untuk jangka masa panjang.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim berkata, jurang nisbah peratusan guru lelaki dan wanita masih besar walaupun semakin ramai lelaki meminati profesion perguruan.

''Sebenarnya ramai lelaki yang memohon ke Institut Pendidikan Guru (IPG) setiap tahun iaitu 35 peratus berbanding 65 peratus jumlah wanita yang memohon dan layak,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Sambutan Hari Guru peringkat daerah di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Baloi, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, kementerian akan cuba memberi perhatian lebih kepada pemohon lelaki pada pengambilan kali ini, tetapi ia tidak bermaksud mengenepi soal kualiti.

''Namun apabila jumlah permohonan wanita lebih ramai, maka peluang dan kemungkinan golongan itu untuk mendapat tempat adalah lebih cerah.

''Pada masa ini ramai yang berminat menjadi guru apabila 68,000 calon telah membuat permohonan memasuki program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sedangkan kita hanya memerlukan 2,000 calon sahaja,'' katanya.

Misrah berkata, IPG masih kekurangan calon KPLI j-QAF dan meminta mereka yang berlatarbelakang kelayakan mata pelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab untuk memohon.

''Bagi KPLI dan KPLI J-Qaf keutamaan akan diberikan kepada calon-calon tempatan di kawasan pedalaman khasnya di Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira orang tempatan lebih memahami budaya setempat dan lebih berkesan,'' katanya.

Beliau berkata, program latihan perguruan menetapkan banyak kriteria dan pelbagai saringan yang diambil kira mengikut Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai rujukan piawaian kualiti guru.

Pada majlis itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Datuk Kusaini Hasbullah turut dianugerah Tokoh Guru Pontian 2009.


link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0608&pub=utusan_malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm&arc=hive

Friday, June 19, 2009

KPLI News : 8,200 bakal ikuti kursus perguruan tahun ini




KOTA KINABALU 16 Jun - Kira-kira 8,200 bakal guru dari seluruh negara akan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,000 bakal guru akan mengikuti KPLI yang bermula bulan ini.

''Seramai 1,200 daripada 2,000 orang adalah dari Sabah dan Sarawak manakala 800 orang lagi dari Semenanjung. Jumlah dari Sabah dan Sarawak lebih tinggi bagi mengisi kekosongan guru di pedalaman dua negeri itu.

''Sementara 6,200 orang lagi yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan SPM akan mula mendaftar pada Julai ini. Pengambilan ini pun kita lebih utamakan pemohon dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Institut Pendidikan Guru Malaysia Zon Sabah 2009 di Magellan Sutera di sini hari ini.

Katanya, pihak kementerian menerima 97,000 permohonan daripada mereka yang berminat menjadi guru melalui kursus itu tetapi hanya 6,200 permohonan sahaja diterima.

Menurutnya, pengambilan untuk dua kursus tersebut pada kali ini lebih mengutamakan pemohon lelaki berikutan kekurangan guru lelaki di seluruh negara selain pemohon dari Malaysia Timur.

''Pengisian kekosongan guru di pedalaman Sabah dan Sarawak akan diisikan dengan pengambilan ini yang dilakukan secara berperingkat, dianggarkan 12,035 guru berkhidmat di pedalaman seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu Misrah berkata, sekolah-sekolah di Sabah masih lagi mengalami kekurangan guru-guru yang mengajar program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-QAF).

Kekurangan tersebut kata beliau, akan cuba diatasi dan pada masa kini guru-guru dari Semenanjung ditukarkan ke negeri ini bagi memenuhi keperluan berkenaan.

Mengenai bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap cadangan kementerian untuk memanjangkan tempoh KPLI dari enam bulan kepada setahun enam bulan, beliau berkata, perkara itu masih dalam peringkat kajian.


link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0617&pub=utusan_malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_06.htm&arc=hive

Thursday, June 18, 2009

KPLI News : STU terkilan pengambilan guru KPLI berkurangan



KUCHING 23 Mei - Kesatuan Guru Sarawak (STU) terkilan ekoran pengambilan guru dari negeri ini untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sedikit berbanding bilangan yang memohon tahun lalu.

Presidennya, William Ghani Bina berkata, tahun lalu, daripada 6,617 lepasan ijazah yang memohon untuk mengikuti program berkenaan, hanya 152 orang diterima.

Sehubungan itu, menurutnya, pihak kesatuan akan membawa perkara tersebut ke peringkat yang lebih tinggi untuk dibincangkan dengan pihak kementerian.

''Kami agak kecewa dan tidak berpuas hati dengan perkara ini, namun kami akan cuba sedaya upaya membantu permohonan mereka yang tidak berjaya ke peringkat proses temu duga KPLI," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung STU yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.

Ghani memberitahu, STU akan mengemukakan beberapa permohonan dan cadangan kepada Kementerian Pelajaran bagi memastikan penempatan guru di Sabah dan Sarawak mencukupi.

Ujar beliau, pihak kesatuan mahu pihak kementerian menilai semula kapasiti pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak di setiap Institut Pendidikan Guru (IPG) maktab agar bilangan mereka ditambah.

''Kita akan memohon supaya jumlah IPG di negeri ini ditambah iaitu satu di Lawas dan Sri Aman.

''Kita juga mahu kementerian menetapkan kuota iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus guru yang mengajar di sesebuah sekolah di setiap negeri itu adalah anak tempatan," katanya.

Penempatan 50 peratus guru terdiri daripada anak tempatan kata Ghani, wajar bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar.

Jelas beliau, penempatan guru tempatan itu akan membolehkan proses pertukaran guru pada setiap tahun dikurangkan.

Malah, katanya, ia juga boleh mengurangkan kos perjalanan seseorang guru terutamanya akibat pertukaran dan kos pulang bercuti ke kampung masing-masing.

Tambahnya, penempatan anak tempatan yang ramai di setiap sekolah juga mampu memperbaiki mutu pembelajaran apabila pelajar lebih memahami apa yang diajar ekoran faktor bahasa dan budaya.


link : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0524&pub=utusan_malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_02.htm&arc=hive

Wednesday, June 17, 2009

KPLI News : Saringan pemohon KPLI diperketat



ISU berkaitan lanjutan tempoh pengajian bagi calon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) seharusnya dipandang daripada sudut positif dengan mengambil kira faktor keberkesanan – aspek pedagogi, keteguhan minat guru dan keupayaan menguasai kurikulum pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam jangka masa lebih matang.

Umum mengetahui, kebanyakan graduan memohon KPLI selepas kecewa dengan peluang pekerjaan yang sempit ditawarkan dalam bidang pilihan mereka ketika menuntut di universiti. Rata-ratanya memilih bidang perguruan sebagai pilihan terakhir dan disifatkan lebih baik daripada menganggur.

Namun, tindakan itu ternyata memberi banyak masalah kepada komuniti lain apabila sarjana yang sememangnya mengikuti pengajian dalam bidang perguruan dan pendidikan terpaksa bersaing untuk merebut penempatan guru di sekolah dengan pelajar KPLI yang belum terbukti minat dan cintanya terhadap profesion perguruan.

Tidakkah nanti golongan yang sememangnya bertekad mahu menjadi guru akan kecewa jika mereka gagal merebut penempatan selepas berhempas pulas selama empat tahun di universiti namun akhirnya gagal lantaran peluang mereka sedikit dikekang oleh guru KPLI?

Justeru, langkah terbaik ialah pihak Kementerian Pelajaran dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) perlu memperhalusi hasrat pemohon KPLI dengan mengadakan saringan lebih ketat, di samping mengekalkan cadangan lanjutan kursus pengajian KPLI untuk tempoh 18 bulan demi melahirkan guru yang benar-benar berminat serta mahu menyerahkan jiwa raga mereka mendidik anak bangsa.

Pihak berwajib juga pada masa sama, perlu memberi lebih keutamaan penempatan guru di sekolah kepada pelajar lepasan universiti yang sememangnya memilih bidang perguruan sebagai jurusan ketika menuntut.

Isu guru lelaki juga perlu dilihat daripada aspek lebih terbuka. Kekurangan guru lelaki di sekolah bakal menimbulkan kesukaran kepada pihak sekolah lantaran kudrat, kekuatan fizikal dan mental lelaki amat ditagih demi membangunkan sekolah.

Saya cukup bersetuju supaya nisbah antara guru lelaki dan wanita diseimbangkan dengan faktor kecemerlangan dan sahsiah guru tidak diabaikan sama sekali. Antara usaha lain, pihak kementerian boleh memperbanyakkan lagi jumlah guru lelaki di kawasan luar bandar dan pedalaman supaya mereka lebih berfungsi untuk membantu memajukan sekolah.

Barangkali usaha mewujudkan kuota khas bagi guru lelaki masih boleh dikaji selain membuka ruang pendapat dan perdebatan kepada umum, namun ia perlu diteliti bagi mengelak pelbagai masalah seperti masalah berkaitan pertikaian gender kemudian hari.

Diharap isu yang timbul ini dipandang pada posisi lebih terbuka. Tidak ada salahnya mewujudkan perdebatan dan mencantumkan carik-carik pandangan, asalkan ia menjurus kepada kecemerlangan terhadap mutu standard dalam sistem pendidikan negara.

ZULFAZLAN JUMRAH,
Fakulti Pengajian Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia.

KPLI News : Guru lama, pensyarah dituduh dengki dengan lepasan ijazah



SAYA sedikit pun tidak berasa hairan apabila banyak pihak terlalu asyik menyalahkan pelajar KPLI kurang latihan. Ada juga yang biasa mengutuk dan menghina pelajar atau lepasan program KPLI sama ada ketika di Institut Pendidikan Guru atau di sekolah. Kutukan ini berlaku terang-terangan hanya kerana ada segelintir guru lepasan KPLI yang bermasalah, sedangkan puluhan ribu guru KPLI lain banyak menabur jasa dan bakti dalam profesion perguruan sekian lama tidak ada pula disebut.

Dari apa yang saya dengar dan alami sendiri selaku lepasan KPLI 2008 di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) di sempadan Terengganu-Kelantan, terlalu ramai 'pendengki' yang memandang buruk program KPLI ini. Saya sebut 'pendengki' kerana punca utama timbulnya pelbagai komen dan desakan supaya KPLI dimansuhkan atau diubah ini adalah kerana prospek kerjaya lepasan KPLI yang sangat pantas. Kami hanya perlu belajar setahun di IPG dan gred DG41 sudah menanti. Apatah lagi sekarang lepasan KPLI ditempatkan di sekolah rendah yang rata-rata guru lama masih lagi berada pada gred DG29 dan DG32.

Situasi inilah yang menyebabkan kebanyakan guru lama, guru besar dan pentadbir sekolah serta pensyarah IPG sendiri sibuk mencari kesalahan lepasan KPLI. Kemudian mereka sibuk menghebahkan keburukan guru KPLI ini dengan harapan guru ini disekat peluang dalam profesion perguruan. Inilah realiti dunia perguruan. Lebih teruk apabila kebanyakan pensyarah IPG sendiri menyuntik pula fahaman bahawa program KPLI ini buruk dan bermasalah ke dalam otak pelajar program perguruan lain di IPG. Cuba anda bayangkan, seorang pelajar Program Perguruan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) lepasan SPM berumur 19 tahun bergelar YDP Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG begitu berani berucap memaki-hamun dan menghina pelajar baru KPLI dalam Minggu Pengurusan/Orientasi. Ini semua kerana mereka diterapkan fahaman buruk mengenai KPLI oleh pensyarah sendiri.

Sepanjang saya berada di sekolah, memang ada guru bermasalah, tetapi bilangan guru KPLI bermasalah amat sedikit. Jika KPLI di IPG ini dipersoalkan, bagaimana pula dengan guru lepasan IPTA yang tidak tertakluk kepada sukatan Bahagian Pendidikan Guru (BPG)? Kenapa lepasan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) yang juga tempohnya setahun tidak dipertikai? Apa lagi kalau tidak kerana dengki.

Lebih penting sebenarnya adalah cara pensyarah menyampaikan sukatan dan bimbingan dengan berkesan kepada pelajar KPLI. Ini tidak, pensyarah selalu tidak masuk kelas KPLI. Prasarana di IPG pun patut dipertingkatkan. Contohnya, Perpustakaan IPG yang kini tak ubah macam perpustakaan sekolah. Menyalahkan dan mengubah tempoh KPLI bukan penyelesaian terbaik. Jika pensyarah IPG atau guru lama tak ubah sikap dan prasarana IPG berada pada tahap kelas ketiga,buat program 180 bulan pun tidak ada gunanya.

TESLIAN KPLI 2008,
Jeli, Kelantan.